Kes rasuah: Peranan empat pihak penting

KINI kita berhadapan dengan isu yang menarik banyak pihak, sama ada yang dalam mahupun luar negara. Kes yang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Walaupun saya telah bersara, terus meluangkan masa untuk mengikuti perkembangan semasa dengan dekat.

Maka, saya mahu menyentuh sedikit mengenai mekanisme pencegahan rasuah. Ini kerana masih ramai tidak faham pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam usaha pencegahan rasuah. Kesemuanya ada empat kumpulan atau golongan utama. Oleh itu, perlu ditekankan bahawa setiap daripada pihak ini ada peranan masing-masing.

Empat kumpulan atau golongan utama ialah masyarakat umum itu sendiri, SPRM sebagai agensi yang bertanggungjawab secara langsung dalam menyiasat kes dan mencegah rasuah; Peguam Negara, selaku Pendakwa Raya, yang akan menentukan sama ada terdapat kes atau tidak, dan akhirnya, mahkamah yang akan mengadili sesuatu kes jika ada pertuduhan.

Masyarakat atau rakyat jelata ada tiga peranan. Kalau terlibat dengan rasuah, menjadi tanggungjawab mereka untuk membuat aduan, menjadi saksi dan kalau ada maklumat, perlu menyalurkan maklumat kepada SPRM.

SPRM pula ada dua tanggungjawab besar di bawah Akta SPRM 2009. Menjalankan siasatan ke atas aduan dan maklumat yang diterima - yang berkaitan dengan perlakuan rasuah. Kedua, menyediakan laporan berkaitan kes yang disiasat dalam tempoh tidak lebih daripada 12 bulan. SPRM menyiasat dan menyediakan laporan kertas siasatan untuk pertimbangan Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya.

Dalam pada itu, Pendakwa Raya pula ada dua tugas besar. Pendakwa Raya akan mengkaji laporan kertas siasatan yang disediakan oleh SPRM. Kalau berpuas hati dengan syor-syor yang dikemukakan oleh SPRM, Pendakwa Raya akan mengenakan pertuduhan ke atas individu terbabit. Kalau fakta tidak cukup, Pendakwa Raya boleh mengembalikan kepada SPRM untuk meneruskan siasatan atau mendapatkan lebih banyak fakta dan maklumat. Kalau laporan yang disediakan tidak ada bukit yang mencukupi atau tiada asas untuk dibawa pertuduhan, Pendakwa Raya akan mengarahkan tidak ada tindakan susulan atau dikelaskan sebagai NFA.

Mahkamah pula, apabila Pendakwa Raya mengemukakan pertuduhan di mahkamah, hakim akan mendengar penghujahan pihak pendakwaan dan pembelaan. Berdasarkan kepada hujah kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah akan mmebuat keputusan. Jika cukup maklumat dan saksi, hukuman dan sabitan akan ditentukan mengikut lunas undang-undang. Bermakna pihak pendakwaan hendaklah membuktikan kes di luar keraguan munasabah, dan peranan peguam bela menimbulkan keraguan. Peranan mahkamah untuk memutuskan sama ada sabit kesalahan ataupun sebaliknya.

Di Malaysia, keseluruhan sistem kehakiman melihatkan tiga peringkat mahkamah. Proses ini masyarakat tidak faham atau kurang jelas. Maka, apabila tidak faham atau penerangan tidak cukup, akan ada beberapa akibat yang akan menyusul. Akibat yang pertama, kemungkinan publik tidak mahu memberi kerjasama. Kedua, mereka akan menganggap agensi penguat kuasa seperti SPRM lemah. Ketiga, publik tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, dan membuat andaian negatif atau serong ke atas sistem perundangan negara.

Undang-undang tidak ditentukan atau digubal oleh SPRM. Sebaliknya, ia diputuskan oleh Parlimen. Ia satu aspek yang lain.

Pada pandangan saya, masyarakat dan semua pihak perlu faham perkara ini. Kalau ada yang tidak berpuas hati, undang-undang sedia ada perlu dipinda. Undang-undang yang dibuat oleh manusia, berbeza antara satu negara dengan negara lain.

Maka, adalah tidak adil untuk mengatakan SPRM dipengaruhi atau dibayangi oleh mana-mana pihak. SPRM juga tidak harus dipersalahkan jika kes tidak dituduh di mahkamah atau mahkamah memutuskan tertuduh tidak bersalah dan sebaliknya.


http://malaysiagazette.com/ms/man-ana/kes-rasuah-peranan-empat-pihak-penting

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip