Abu Kassim akan teruskan agenda cegah rasuah
KUALA LUMPUR: Tan Sri Abu Kassim Mohamed
bertekad untuk meneruskan agenda membanteras rasuah walaupun bakal menamatkan
perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) mulai 1 Ogos depan.
Katanya, tempoh perkhidmatan selama enam
tahun tujuh bulan sudah cukup lama dan dia berterima kasih kepada semua pihak
termasuk pegawai dan kakitangannya kerana sepanjang tempoh itu mereka berjaya
menjadikan SPRM kini sebagai antara agensi pencegahan rasuah yang disegani di
dunia.
"Terima kasih kepada seorang tokoh
yang amat penting dengan menukarkan Badan Pencegahan Rasuah (BPR) kepada SPRM
iaitu bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.. terlalu banyak
peristiwa yang hendak diceritakan tentang komitmen beliau kepada BPR dan SPRM
sehingga menjadi satu agensi yang dihormati dalam negara serta disegani seluruh
dunia.
"Terima kasih juga kepada pihak yang
'berperang' di Parlimen untuk memastikan Akta SPRM 2009 menjadi nyata dan
mempertahankannya satu persatu," katanya ketika berucap pada pada Majlis
Penghargaan Bersama Ketua Pesuruhjaya SPRM di sini, tadi.
Yang turut hadir, Abdullah dan isteri, Tun
Jane Abdullah; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Seri Zeti Akhtar Aziz;
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz; bekas
Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas Ketua Polis Negara,
Tan Sri Musa Hassan.
Hadir sama, bekas Pengerusi Media
Prima Berhad, Tan Sri Johan Jaaffar dan Pengarang Kumpulan BH, Datuk Mahfar
Ali.
Abu Kassim berkata, selepas ini beliau akan
meneruskan perjuangannya membanteras rasuah dengan berkongsi pengalaman dan
kepakaran dalam bidang itu sebagai pakar jemputan di Akademi Anti-Korupsi
Antarabangsa di Vienna, Austria selain sebagai perunding di Universiti
Teknologi Mara (UiTM).
Abu Kassim juga akan terus menyumbang
kepada negara sebagai Pegawai Perkhidmatan Pencegahan Rasuah sehingga bersara
wajib pada 6 Disember 2020.
Beliau yang memulakan tugas sebagai pegawai
penyiasat BPR pada 1984, dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Januari
2010.
Dalam pada itu, Abu Zahar yang juga bekas
Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah dalam ucapannya berharap pengganti
Abu Kassim akan dilantik daripada kalangan 'orang dalam' SPRM sendiri.
"Kalau boleh pengganti Ketua
Pesuruhjaya adalah dari orang dalam SPRM sendiri, bukannya orang luar. Ini
untuk lebih mudah menjalankan tugas kerana sudah tahu selok belok cara kerja
SPRM.
"Jika ambil ambil orang luar, ini
sedikit sebanyak akan menurunkan moral kepada orang kanan dan bawahan kerana
perlu ikut arahan daripada mereka yang tiada pengalaman," katanya.
http://www.bharian.com.my/node/177316
http://www.bharian.com.my/node/177316
Comments
Post a Comment