Skip to main content

Rasuah: Bakal pengantin dipenjara, denda RM20,000

SHAH ALAM 19 Julai - Seorang anggota polis berpangkat Sarjan masih berpeluang untuk naik pelamin Sabtu ini selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan penggantungan pelaksanaan hukuman penjara empat tahun selepas didapati bersalah atas dua tuduhan menerima rasuah, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut diberikan oleh Hakim Asmadi Hussein dengan syarat tertuduh, Mohd. Faridzuddin Hamzah, 26, melunaskan denda RM20,000 yang turut dikenakan terhadapnya bagi kesalahan itu.

Jaminan terhadapnya juga dinaikkan daripada RM8,000 ke RM15,000 dengan seorang penjamin di samping tertuduh yang kini digantung tugas turut diperintahkan melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terdekat pada setiap bulan.

Terdahulu, Asmadi menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan denda RM10,000 bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara diperintah berbuat kuasa secara serentak bermula hari ini.

Gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara ke atas tertuduh yang sebelum ini bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang boleh ditambah lagi tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Faridzuddin didakwa menerima rasuah RM500 daripada Rania Ranjit Abdullah kira-kira pukul 8.15 malam, 5 Mac 2014 di Tingkat 1, IPD Serdang dekat sini sebagai dorongan agar menyelesaikan kes dadah yang dihadapi oleh lelaki terbabit.

Kesalahan tersebut diulangi kira-kira pukul 9.20 malam, 1 April 2014 di restoran Kinrara, Sri Petaling dekat sini bagi tujuan sama.

Mohd. Faridzuddin bagaimanapun dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan cuba mendapatkan suapan daripada Rania Ranjit kira-kira pukul 6.15 petang, 1 April 2014 di tempat kerjanya selepas mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Mohammed Heikal Ismail sementara tertuduh diwakili peguam bela, Salim Bashir. - UTUSAN ONLINE

http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/rasuah-bakal-pengantin-dipenjara-denda-rm20-000-1.355462#sthash.Ajfyz4cY.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip