SPRM terima 1,071 maklumat penerokaan tanah haram
KANGAR 23 Julai - Sebanyak 1,071 maklumat diterima Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan serta pembalakan haram sejak 2012 sehingga kini.
Daripada jumlah itu, sebanyak 40 individu terdiri daripada pegawai kerajaan, swasta dan pengusaha tanah telah ditangkap.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, isu berkaitan tanah merupakan perkara serius kerana melibatkan kerosakan alam sekitar dan kehilangan nyawa jika berlaku bencana.
Katanya, perkara itu turut mengakibatkan kehilangan hasil kerajaan seperti balak manakala kerosakan yang berlaku pula terpaksa mengambil masa lama sehingga ratusan tahun untuk dipulihkan.
“Sebab itu SPRM memberi fokus terhadap isu tanah dan penguatkuasaan oleh agensi terlibat. Dalam hal ini, penguat kuasa bertanggungjawab perlu diterap elemen integriti agar tanah tidak diceroboh.
“Pendidikan terhadap masyarakat yang patuh pada undang-undang juga penting agar mereka faham dan tidak meneroka tanah kerajaan secara haram,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Projek Pemantapan Integriti (EIP) dengan tema 'Memartabatkan Integriti Dalam Pengurusan Tanah' anjuran Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) di sini, hari ini.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan merasmikan majlis itu. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Terdahulu, Tuanku Syed Faizuddin bersama Mustafar dan pengarah-pengarah jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan menyertai acara berbasikal bagi menyampaikan sumbangan wang zakat dan hamper Hari Raya Aidilfitri kepada golongan asnaf di kawasan berdekatan.
Dalam pada itu Mustafar memberitahu, faktor kekurangan anggota penguat kuasa dan jarak perjalanan yang jauh dikenal pasti antara punca berlaku penerokaan dan pencerobohan tanah kerajaan.
“Seperti isu di Cameron Highlands, Pahang, penerokaan tanah secara haram berlaku kerana kerajaan negeri kekurangan anggota penguat kuasa dan lokasinya yang terletak jauh di pedalaman,” katanya.
Kepada satu soalan, beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya memandang kejayaan SPRM dalam menangani isu di tanah tinggi itu menerusi bilangan kes pendakwaan di mahkamah sahaja.
“Terdapat kakitangan kerajaan yang diambil tindakan disiplin sehingga ditukar tempat kerja. Pendakwaan memerlukan bukti-bukti yang kukuh,” katanya.
Sementara itu, penganjuran program EIP yang merupakan pendedahan kepada masyarakat terhadap kepentingan integriti dalam kehidupan seharian adalah sebagai memenuhi modul program kursus Pegawai Integriti Bertauliah (Ceio) di MACA.
Sehingga kini terdapat seramai 577 orang Ceio terdiri daripada pegawai kakitangan awam dan swasta sudah ditauliahkan sejak 2012.
Comments
Post a Comment