Aktiviti curi pasir di sempadan Putrajaya, Sepang aktif semula
PUTRAJAYA 21 Julai - Kegiatan mencuri pasir di sempadan Putrajaya dan Sepang kembali rancak sejak sebulan lalu sehingga pelombong bertindak berani dengan membuka dua lokasi baharu untuk aktiviti tersebut tanpa rasa takut dengan pihak berkuasa.
Dua lokasi baharu itu terletak di daerah Sepang, manakala satu lokasi lama yang dipercayai masih aktif dengan aktiviti curi pasir terletak di Presint 20 iaitu lokasi sama yang pernah diserbu dan didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.
Banyak aduan daripada orang ramai dan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan tersebut sudah acapkali dilakukan oleh SPRM, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Putrajaya dan Pejabat Tanah Daerah Sepang tetapi ia masih tidak dapat mengekang aktiviti haram itu sepenuhnya.
Tinjauan Utusan Malaysia ke kawasan tersebut semalam mendapati aktiviti mencuri pasir di kawasan tersebut semakin serius sehingga pelombong bertindak berani dengan membina longkang bagi menghalang kemasukan pihak berkuasa ke tapak lombong melalui jalan di Presint 20.
Namun, pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) bertindak pantas dengan menimbus kembali longkang tersebut tetapi kerakusan pelombong terbabit tidak berhenti di situ sahaja kerana mereka dipercayai turut mengupah samseng untuk menjaga lombong terbabit.
Tinjauan itu dilakukan bersama-sama PTG Putrajaya, Pejabat Tanah Daerah Sepang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bagaimanapun, seperti dijangka tinjauan tersebut hanya dapat menyaksikan tapak lombong kosong tanpa sebarang aktiviti termasuk jentera pengorek mahupun lori.
Menurut sumber, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan intipan berdasarkan laporan awam yang diterima berhubung lombong berkenaan, namun setiap kali operasi yang dilakukan gagal untuk menahan suspek kerana mereka seolah-olah dapat menghidu pergerakan pihak berkuasa.
Katanya, modus operandi pelombong haram di kawasan tersebut sukar dijangka kerana turut beroperasi pada waktu malam.
Sumber itu berkata, setiap operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa juga menemui jalan buntu dan pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan pihak berkuasa dipantau tonto.
“Sebelum ini beberapa tangkapan telah dibuat, namun mereka tidak serik dan kembali aktif. Kali ini mereka lebih berani kerana dipercayai membuka dua lokasi baharu untuk mencuri pasir, jalan keluar masuk ke lokasi tersebut juga telah dibina,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, mesyuarat penyelarasan operasi pemantauan dan penguatkuasaan bersepadu ke atas pencerobohan tanah dan kecurian pasir di sempadan Putrajaya dan Sepang telah diadakan baru-baru ini dengan beberapa pendekatan telah diputuskan.
“Hasil mesyuarat tersebut memutuskan pihak PPj akan menyelaras Ops Sepadu bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) Sepang, SPRM, PTG, SPRM dan juga beberapa lagi agensi lain bagi membanteras kegiatan tersebut selain membentuk kawalan secara konsisten di tapak perlombongan,” katanya.
Pada 24 Jun lalu sebanyak 10 pegawai SPRM bersama empat pegawai PTG iaitu pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan lesen mengorek pasir membuat serbuan di kawasan lombong berkenaan kira-kira pukul 10.30 malam, ketika serbuan dilakukan, terdapat dua jentera pengorek serta dua lori hantu dipandu empat individu yang baru selesai menjalankan kerja mengorek pasir.
Ketika menunggu bantuan untuk menyita peralatan tersebut, kira-kira 20 individu dipercayai kumpulan yang melakukan kegiatan curi pasir datang dan mengepung pihak SPRM dan PTG serta mengugut akan melanggar mereka dengan lori jika tidak berundur dan membawa keluar semua jentera dari lokasi.
http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/aktiviti-curi-pasir-di-sempadan-putrajaya-sepang-aktif-semula-1.356348#sthash.TBbDePmS.dpuf
Comments
Post a Comment