Abu Kassim lawat SPRM seluruh negara sebelum 1 Ogos
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri
Abu Kassim Mohamed akan melakukan lawatan ke semua pejabat SPRM di seluruh
negara sebelum tarikh tamat perkhidmatannya pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata
lawatannya itu untuk bertemu dengan anggota dan pegawai SPRM bagi mengucapkan
terima kasih kepada mereka yang telah membantunya dalam melancarkan pelbagai
urusan oleh agensi itu.
Katanya beliau
berharap anggota dan pegawai SPRM terus menjalankan tugas dengan baik
serta mengambil tindakan berlandaskan undang-undang yang ditetapkan.
"Hari ini saya
telah melawat (SPRM) dua negeri iaitu Perlis dan Kedah serta baki negeri lain
akan saya lawat sebelum tarikh persaraan saya," katanya ketika hadir pada
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri SPRM Kedah, di Alor Setar hari ini.
Katanya beliau akan
meneruskan perjuangan dalam bidang tersebut selepas dilantik sebagai anggota
fakulti (pakar jemputan) International Anti-Corruption Academy, Austria.
Beliau juga akan
menyumbang pengalaman dan kepakaran dalam bidang tersebut sebagai perunding di
Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Sebelum ini, Ketua
Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa mengesahkan Abu Kassim akan menamatkan
perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos ini.
Abu Kassim, 56, memohon untuk tidak meneruskan khidmat sebagai ketua
pesuruhjaya walaupun kontrak beliau sepatutnya tamat pada 2018 dan persaraan
wajib dalam perkhidmatan awam adalah pada tahun 2020.
Penamatan kontraknya
selaras dengan subseksyen 5(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009
(Akta 694) dan Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Abu Kassim
untuk menamatkan perkhidmatannya itu dengan memberi sebulan notis.
-Bernama
Comments
Post a Comment