SPRM sedang siasat ahli perniagaan disyaki tipu 1MDB
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang ahli perniagaan
yang dikatakan menipu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim
Mohamed, berkata siasatan itu dijalankan kerana terdapat kemungkinan perbuatan
penyelewengan dan pengubahan wang haram oleh ahli perniagaan terbabit yang
didakwa menipu 1MDB.
"Kita menjalankan kerjasama dengan
Amerika Syarikat menyiasat seorang ahli perniagaan yang dikatakan menipu pihak
1MDB dan pihak berkaitan lain yang terbabit dengan perbuatan pengubahan wang
haram dengan membawa wang itu ke AS.
"Oleh sebab itulah AS meminta
pertolongan dan kita hanya menjalankan kerja seperti mana yang digalakkan dalam
The United Nations Convention against Corruption (UNCAC) iaitu setiap agensi
perlu memberi kerjasama dan sokongan apabila berhadapan dengan satu jenayah
yang membabitkan beberapa negara," katanya ketika ditemui di pejabat SPRM
di sini tadi.
Beliau yang hadir sempena lawatan kerja itu
bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara terbabit.
Kelmarin, Jabatan Kehakiman Amerika
Syarikat (DOJ) memfailkan saman untuk menyita aset berkaitan 1MDB bernilai AS$1
bilion (RM4 bilion) yang dibeli dengan wang dipercayai dilesapkan daripada
1MDB.
Dalam lawatannya ke pejabat SPRM di sini,
beliau sempat merasmikan majlis penamaan sebuah auditorium yang dinamakan
sempena namanya.
Comments
Post a Comment