Hapus ‘virus’ rasuah penjawat awam



Kisah penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi sering bermain golf di luar negara bukanlah cerita baharu. Sebelum ini, ia kerap kali diperkatakan sehingga sudah menjadi rahsia umum. Bagai­manapun penjawat-penjawat awam terlibat tidak pernah serik. Ada antara mereka saban tahun akan menghabiskan cuti di luar negara bermain golf dan membeli-belah bersama individu yang boleh dicurigai kehadirannya.

Apa yang meresahkan, pemergian mereka seperti mana kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memang dengan biaya sendiri tetapi apabila sampai ke destinasi, segala-galanya termasuk belanja ditaja pihak tertentu.

Pihak berkenaan sudah tentulah tidak akan begitu pemurah untuk menyumbang dana bagi menghiburkan penjawat-penja­wat itu jika mereka tidak ada kepentingan atau berdasarkan prinsip, ‘gua jaga lu, lu jaga gua’.

Oleh itu, amaran Dzulkifli agar aktiviti itu dihentikan sebelum terlambat tepat pada waktunya. 

Penjawat awam harus bersih daripada aktiviti yang boleh menjebakkan diri mereka dalam amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Sebenarnya, penulis pernah diberitahu bukan sahaja percutian dan bermain golf ditaja oleh pihak tertentu, malah ada majlis-majlis anjuran penjawat awam tersebut termasuklah majlis perkahwinan anak ditaja oleh ‘tauke-tauke’.

Itu belum lagi mengambil kira bagaimana di dalam negeri, ada pihak tertentu bersedia meraikan penjawat-penjawat awam terlibat dalam majlis-majlis cukup ­meriah. Semua itu dilakukan kerana pihak berkenaan mahu memperalatkan penjawat awam tersebut khususnya mereka di peringkat pengurusan tertinggi.

Gejala itu tidak harus dibiarkan kerana kita berasa ngeri de­ngan amalan rasuah yang semakin serius dalam kalangan penjawat awam seperti mana terdedah melalui operasi-operasi SPRM.

SPRM perlu menjadikan 2017 sebagai tahun bagi membersihkan perkhidmatan awam daripada sebarang elemen rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Sudah tiba masa seperti mana kata Dzulkifli, sekarang bukanlah lagi masa untuk memberi amaran sebaliknya bertindak ke atas pengkhianat-pengkhianat tersebut yang sanggup menjamah wang haram semata-mata mahu hidup senang.

Penjawat awam yang mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan kuasa adalah kelompok yang tidak tahu bersyukur. Pangkat dan kedudukan yang di­amanahkan bukannya digunakan untuk berbakti kepada rakyat dan negara, sebaliknya dijadikan batu loncatan bagi mengaut kekayaan.

‘Pembawa virus’ rasuah ini perlu dihapuskan daripada per­khidmatan awam kerana jika di­biarkan mereka boleh mero­sakkan negara. Ini memandangkan kalaulah maruah sendiripun sanggup digadai untuk hidup mewah, apa lagi yang boleh kita harapkan. Dalam berhadapan isu ini, penulis percaya SPRM di bawah kepemimpinan Dzulkif­li tidak akan berkompromi. Beliau sudah pun melaungkan amaran bahawa operasi demi operasi akan dilaksanakan secara konsisten.

Mungkin ketegasan SPRM tidak akan disenangi oleh sesetengah pihak dan mungkin ramai yang sudah berasa ‘panas’, tetapi kalau mereka tidak melakukan apa-apa kesalahan, tiada apa yang perlu dirisaukan. Penulis berpendapat, sudah tiba masanya untuk SPRM mengorak langkah bagi melaksanakan pemantauan dan siasatan terhadap pegawai serta agensi penguatkuasaan yang dilihat hi­dup di luar pendapatan.

Perkara ini bukan sahaja sudah menjadi ‘buah mulut’, malah dapat disaksikan berdasarkan gaya hidup pegawai dan anggota terlibat. Puak seumpama ini tidak boleh dibiarkan kerana mereka menjadikan ‘kuasa sebagai lubuk meraih keuntungan’. Tidak perlu ada simpati atau toleransi dalam soal ini. Kalau mereka bersedia menyuap mulut isteri, anak atau keluarga mereka dengan wang haram, maka mereka juga perlu bersedia menanggung akibatnya.

Pegawai dan anggota penguat kuasa yang terlibat dalam rasuah bukanlah perkara kecil, mereka adalah ancaman kepada negara memandangkan mereka menjadikan undang-undang sebagai pertaruhan untuk hidup mewah.

Sebelum ini kita sudah dengar bagaimana sindiket-sindiket penyeludupan begitu mudah menjalankan aktiviti mereka biarpun pelbagai operasi dilakukan pihak berkuasa. Kegagalan mengekang perbuatan tersebut disebabkan dalam kalangan anggota agensi penguat kuasa ada yang bersedia menjadi ‘balaci’ kepada sindiket.

Situasi inilah yang menyebabkan beberapa kegiatan jenayah termasuklah penyeludupan barang bersubsidi dan judi haram, contohnya, tidak dapat dibanteras, puncanya hanya satu iaitu ada penjawat awam yang tidak amanah.

Bagaimanapun usaha membanteras gejala rasuah bukan terletak di bahu SPRM, masyarakat juga perlu memainkan peranan bagi membolehkan SPRM mencapai misinya menjadi sebuah agensi ‘mesra rakyat, digeruni perasuah’.

Jika mereka mempunyai maklumat yang konkrit dan bukti kukuh maka lapor sahaja kepada agensi itu bagi membolehkan siasatan dijalankan. Janganlah hanya bijak memaki hamun atau mengkritik SPRM tetapi mereka sendiri tidak berbuat apa-apa dalam membanteras rasuah da­lam kalangan penjawat awam.

Perlu difahami pembanterasan rasuah dalam kalangan penjawat awam khususnya anggota agensi penguat kuasa amat penting bagi mengelakkan undang-undang hanya menjadi ‘lapik kaki’ sindiket atau mereka yang mahu melakukan jenayah.

Begitu juga sebarang salah laku di dalam sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

Penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah tidak boleh dibiarkan. Tindakan harus dilakukan tanpa mengira kedudukan dan pangkat individu yang terlibat.

Tidak kira sama ada orang politik mahupun orang awam, jika mereka sanggup melakukan rasuah maka mereka perlu bersedia berhadapan dengan SPRM kerana penulis yakin SPRM di bawah kepemimpinan Dzulkifli, me­merangi penyelewengan dan salah guna serta rasuah adalah satu jihad yang perlu ditegakkan.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip