Projek ikan sturgeon: VIP juga akan disiasat
SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan bahawa siasatan akan turut dijalankan terhadap beberapa individu berprofil tinggi berhubung kes penyelewengan projek ternakan ikan sturgeon bernilai RM47.6 juta.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, kes tersebut dalam penelitian berikutan pembayaran dibuat pihak berkenaan adalah begitu besar sedangkan kerja-kerja yang dilaksanakan amat meragukan.
“Setakat ini belum ada perancangan untuk tangkapan terbaru. Kami akan menyiasat kes tidak kira kecil atau besar.
“Dan, saya tidak menolak kemungkinan ada kalangan berprofil tinggi yang akan disiasat dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Terdahulu, mahkamah membenarkan permohonan reman selama tujuh hari bermula semalam ke atas lima individu termasuk dua bekas pegawai kanan Felda yang ditahan di sekitar Lembah Klang bagi membantu siasatan berhubung kes tersebut.
Mereka yang ditahan terdiri daripada bekas pegawai kanan bergelar datuk, bekas pegawai (yang menyandang jawatan tinggi), pegawai bertugas di luar negara, pegawai yang terbabit projek penternakan ikan itu dan seorang lagi penolong pegawai tadbir.
Comments
Post a Comment