Skip to main content

Perihal rasuah main golf

DALAM portal rasmi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun ada disebut perkataan ‘golf’.

Satu set golf jenis Mizuno berharga RM2,500 yang diterima daripada kontraktor, mengakibatkan seorang Yang Dipertua Majlis Perbandaran dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan denda berjumlah RM1.925 juta.

Ini berikutan defendan sebagai balasan meraih set golf itu berserta wang tunai RM30,000 dan cek tunai bernilai RM30,000 telah menjanjikan proses kelulusan melicinkan perjalanan projek kontraktor terbabit.

Golf menyebabkan segelintir orang jadi gila. Bermain golf bukanlah perbuatan jenayah. Tetapi yang dibimbangi niat yang mendatangi fikiran pemainnya.

Maka, ada sebabnya SPRM mengingatkan penjawat awam jangan bermain golf di luar negara. Selain kerana urusan bermain ‘dibiayai’ orang di sana nanti, natijah yang mendatang juga bukan kepalang terutama kepada rumahtangga.

Dalam sesetengah situasi, kegilaan golf tidak sempurna kalau tidak dilengkapi dengan perempuan.

Ramai pemain golf Malaysia ke negara seberang. Mereka termasuklah yang disebut SPRM sebagai suatu amaran buat penjawat awam, pun berbondong-bondong ke sana. Bukan boleh pun hendak mencapai ke tahap pemain golf nombor satu dunia ketika ini, Jason Day atau setidak-tidaknya Tiger Wood kerana tiada pun rakyat negara ini mencapai tahap amatur pun. Namun barangkali tidak mahu dicap sebagai tiada kelas atau ‘darat’, maka mainlah golf itu.

Main golf pun kelam kabut, pegang besi pemukulnya pun kekok. Tetapi demi gadis genit yang jadi caddy (pemungut bola golf), bergolok gadai pun sanggup untuk ke seberang. 

Padang golf juga dijadikan tempat ‘berunding’. Kalau ada kontraktor bermain golf dengan ketua jabatan atau pegawai tinggi kerajaan, pasti ada rasuah. Ia tidak main saja-saja. Main ada makna dengan siap dibawa cek lagi oleh si kontraktor.

Peringkat bawahan pula kalau main dengan bos, pastinya bos akan menang dan akan diberikan hadiah. Peringkat awal, hadiahnya adalah mesin basuh, televisyen sebesar mata memandang atau peti ais. Atau sekecil periuk nasi atau cerek.

Bila balik ke Malaysia, lambakan barang kemenangan buat sang isteri. Kadangkala tidak menang pun, beli guna duit sendiri. Tetapi isteri pun tidak sedar, bukan kepalang punya suka.
Di sebalik ingatan ini, SPRM ada menjalankan kajian terhadap perlakuan rasuah dalam kalangan penjawat awam. Kajian mendapati punca pendapatan atau penetapan tangga gaji yang kecil dan rendah bukannya punca utama atau satu-­satunya punca mengapa penjawat awam mengambil rasuah.

Antara punca utama berlakunya rasuah dalam mereka adalah kecenderungan untuk:
* mempunyai gaya hidup di luar kemampuan.
* sikap tamak dan haloba.
* wujudnya ruang dan ­peluang melakukan rasuah.
* tahap integriti rendah da­lam kalangan pegawai terbabit.

Suapan rasuah boleh jadi dalam bentuk wang tunai, ­hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun dan pinjaman.
Dalam pemilihan melalui sebut harga, peraturan-peraturan seperti dalam pemilihan tender perlu dipatuhi.

Sekiranya seseorang pegawai mengetahui ada sebut harga yang dikemukakan kepadanya terdiri daripada orang yang mempunyai kepentingan dengannya, maka dia hendaklah mengisytiharkan diri dan membiarkan keputusan pemilihan dilakukan oleh orang lain.

Apa yang diingatkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad terhadap pemain golf dalam kalangan penjawat awam adalah elemen baharu yang barangkali tidak difikirkan ramai orang. Ia adalah pemikiran di luar kotak dalam menangani kegiatan yang mungkin perkara biasa untuk mengiakan ‘matlamat menghalalkan cara’.

“Walaupun kadangkala individu-individu terbabit menunjukkan bahawa perjalanan mereka dibiayai dengan hasil pendapatan sendiri namun sebaik-baik sahaja tiba di sana, mereka akan disambut oleh golongan tertentu ini bagi membiayai segala perbelanjaan lain termasuklah perbelanjaan untuk membeli-belah dan sebagainya. ‘So again I repeat, stop immediately all this activities before it is too late!” tegas Dzulkifli.

Amaran Dzulkifli patut dijadikan penguat azam kepada para pegawai SPRM lain ­terutama pegawai muda untuk menggali lebih banyak kegiatan yang dari luar berupa amalan tetapi hakikat dan realitinya berselindung dengan perbuatan rasuah.

Bak kata bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid:

“Penguatkuasaan SPRM perlu diteruskan bagi memastikan penjawat awam bebas daripada rasuah. Saya setuju dengan tindakan yang dilakukan oleh SPRM bagi membersihkan sektor awam.

“Seorang penjawat awam perlu menetapkan iman dan menjaga reputasi serta perlu tahu implikasi jika terlibat rasuah antaranya harta benda disita, tiada peluang kenaikan pangkat dan boleh dibuang kerja.”

Namun kemahuan dan kehendak sukar dibendung bila duit dan perempuan di depan mata. Jadi ‘gelap mata’.

http://www.utusan.com.my/rencana/perihal-rasuah-main-golf-1.427802#sthash.Dfo2msfV.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip