SPRM pertingkat IBI di sektor awam, GLC, perbankan

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan pertingkatkan lagi penggunaan kaedah Siasatan Berasaskan Risikan (IBI) untuk membanteras jenayah rasuah khususnya di sektor awam, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan institusi perbankan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki berkata, IBI merupakan inisiatif penyiasatan yang proaktif dan kejayaannya terbukti dalam kes seperti Ops Water di Sabah, Ops Bauksit di Pahang dan kes sindiket penyelewengan dana kerajaan lebih RM100 juta melibatkan pegawai kanan di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Tidak banyak agensi di dunia menggunakan IBI. Kaedah IBI membolehkan pegawai-pegawai memulakan kerja-kerja risikan. Ini akan memudahkan penyiasatan dijalankan.  Maka, penggunaan IBI akan dipertingkatkan.

"Kalau tiada perisikan yang berkesan, sudah tentu SPRM tidak boleh membongkar kes besar seperti Ops Water di Sabah yang merupakan penemuan wang terbesar dalam sejarah negara," katanya dalam temu bual eksklusif Slot Tetamu Khas di MACCfm hari ini.

Azam berkata, SPRM akan menumpukan siasatan dan perisikan di sektor awam, GLC dan institusi  perbankan bermula tahun ini.  

"Tumpuan akan diberikan terhadap sektor agensi penguatkuasaan dan perolehan yang mempunyai kecenderungan tinggi berlakunya rasuah dan ketirisan," katanya.

Azam yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM pada Oktober lepas berkata isu rasuah khususnya dalam sektor awam di negara ini masih serius dan perlu ditangani.

"Saya pernah berbincang dengan seorang profesor daripada United Kingdom bahawa isu rasuah dalam sektor awam masih satu isu besar. Itu negara yang sudah maju. Malaysia yang belum mencapai status negara maju perlu menangani isu rasuah sektor awam, GLC dan perbankan," katanya.

Sambil memberi contoh, Azam berkata pegawai-pegawai kerajaan yang hidup mewah, bermain golf di luar negara dan mempunyai teman wanita atau 'mistress' merupakan antara ciri-ciri mereka yang mengamalkan rasuah.

Beliau memberi amaran tegas kepada pegawai-pegawai tertinggi dan kanan kerajaan persekutuan dan negeri yang kerap bermain golf di luar negara agar menghentikan aktiviti tersebut.

"SPRM banyak menerima maklumat mengenai pegawai tertinggi dan kanan kerajaan bermain golf di luar negara. Tidak salah bermain golf tetapi di Malaysia. Yang dalam entourage itu kelihatan kontrator dan pembekal... kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat  pergi (main golf).  

"Ini bukan hanya (melibatkan) pegawai kerajaan persekutuan tetapi kerajaan negeri yang bertugas di pejabat daerah, pejabat tanah dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Pada kami, mereka perlu menghentikan aktiviti ini,” katanya.

Azam turut memaklumkan bahawa SPRM mencatatkan kejayaan yang lebih baik pada tahun lepas berbanding tahun sebelumnya dengan sebanyak 982 kertas siasatan dibuka, 932 tangkapan dibuat manakala 258 dituduh di mahkamah sehingga 15 Disember lepas.

Beliau berkata SPRM berjaya menyita kira-kira RM200 juta di seluruh negara dan 70 peratus akan dilucutkan hak kepada hasil negara.

"Ini merupakan salah satu sumbangan SPRM kepada negara. Dengan cara ini, kita dapat membanteras rasuah ke akar umbi tetapi kita juga membantu memulangkan wang milik negara dan juga mencegah harta kerajaan daripada diseleweng. 

"SPRM berharap pegawai-pegawai awam yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa, mereka sepatutnya bertaubat dan menghentikan kegiatan yang mereka ng lakukan selama ini," katanya.

Beliau turut memberi amaran kepada semua pegawai dan warga SPRM agar tidak menyalah guna kuasa atau ‘menjual’ SPRM untuk kepentingan diri.

"Saya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan lebih keras daripada orang luar yang disiasat. Tiada toleransi,” katanya. – Bernama

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip