Skip to main content

SPRM tahan bekas CEO TEKUN Nasional

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Seorang bekas Pengarah Urusan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yang sebelum ini didakwa atas pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu ditahan semula hari ini atas kesa­lahan lain iaitu meminta suapan bernilai RM36,000.

Suspek bergelar Datuk berusia 62 tahun yang baru pulang dari menunaikan umrah semalam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira pukul 5.15 petang hari ini di kediamannya di Bukit Bandaraya, Shah Alam, Selangor.

Menurut sumber, suspek di­per­cayai menerima wang suapan RM36,000 pada 15 Januari 2015 ketika masih memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TEKUN Nasional sebagai dorongan membantu mempercepatkan proses bayaran tuntutan sebuah syarikat pemungut hutang berjumlah RM360,009.

“Wang suapan berkenaan ada­lah 10 peratus daripada hasil ku­tipan ‘Hutang Lapuk TEKUN Nasional’ bagi bulan November tahun sebelumnya.

“Suspek yang memegang jawatan tersebut sejak 2008 hingga 2014 telah melantik syarikat pe­mungut hutang itu kononnya bagi memungut hutang yang tidak dibayar lebih daripada dua tahun oleh peminjam,” kata sumber itu di sini hari ini.

Sumber memberitahu, suspek kini masih dalam perbicaraan di mahkamah bagi dua pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan dengan me­luluskan permohonan pinjaman program perintis TEKUN berjumlah RM200,000 kepada sebuah syarikat e-learning yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengannya.

“SPRM turut menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai kaitan dengan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman dalam isu rasuah melibatkan kementerian tersebut memandangkan sebelum ini Mohd. Arif juga pernah menjadi Ahli Lembaga TEKUN Nasional,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan memaklumkan suspek akan didakwa di Mahkamah Shah Alam esok atas pertuduhan menerima suapan tersebut.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Mohd. Arif dan dua anaknya ditahan SPRM selepas disyaki menerima sejumlah wang suapan daripada syarikat-syarikat yang berkepentingan sejak dilantik se­ba­gai pegawai kerajaan negeri ber­mula tahun 2010.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumah suspek, SPRM me­rampas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun dan mata wang asing serta jongkong emas yang nilainya masih belum diketahui serta 150 barangan terdiri daripada tas tangan dan jam tangan pelbagai jenama.

KSU kementerian itu dipercayai turut melimpahkan kemewahan kepada keluarga antaranya dengan cara membawa mereka menikmati percutian mewah ke luar negara sambil bermain golf dengan beberapa individu yang mempunyai kepentingan dan urusan rasmi de­ngan kementeriannya.

Malah penahanan itu turut membuktikan komitmen dilaungkan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad yang me­negaskan pihaknya akan melakukan penangkapan dan pendakwaan terhadap individu yang terlibat dalam rasuah setiap minggu selari dengan moto SPRM iaitu ‘2017 sebagai tahun memerangi rasuah’.

Dzulkifli turut menegaskan tin­dakan itu bukan sahaja akan melibatkan penjawat awam, ma­lah individu lain termasuk mereka yang berada dalam syarikat mi­lik kerajaan (GLC).

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip