Skip to main content

Bincang projek ratusan juta ringgit

PENDEDAHAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tentang wujudnya rasuah golf dalam kalangan penjawat awam telah membuka mata banyak pihak tentang ‘aktiviti tidak sihat’ ketika di padang golf.

Menyedari keadaan itu, SPRM juga telah mengeluarkan arahan agar penjawat awam berhenti main golf di luar negara. Bagi mengesahkan tentang wujudnya aktiviti rasuah di padang golf, WARTA WAN MINGGUAN MALAYSIA baru-baru ini telah membuat tinjauan di beberapa kelab golf di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan menemu bual para kedi golf tentang isu ini.


KUALA LUMPUR 7 Jan. - Perbincangan projek ber­nilai puluhan atau ratusan juta ringgit antara ahli perniagaan, kontraktor dan pegawai kanan kerajaan berjawatan tinggi menjadi topik utama setiap kali mereka bermain golf di kelab-kelab golf terkenal di negara ini.
Malah perbincangan projek tersebut, jika berjaya akan membawa kepada ‘penajaan’ bermain golf di luar negara seperti di Indonesia, Thailand malah hingga ke Amerika Syarikat (AS).

Malahan permainan membabitkan pegawai kanan kerajaan yang bertaraf orang kenamaan itu juga dipercayai dibiayai oleh ahli-ahli perniagaan atau kontraktor yang berurusan dengan mereka.

Ketika tinjauan Mingguan Malaysia di sebuah kelab golf terkenal baru-baru ini, beberapa orang kedi yang dikategorikan ‘kelas A’ me­ngakui pernah mendengar perbincangan projek-projek sehingga ratusan juta ringgit orang kenamaan terbabit.

Salah seorang kedi yang hanya dikenali sebagai Eina berkata, dia kerap kali ditugaskan untuk menjadi kedi seorang lelaki bergelar Datuk Seri yang sering bermain golf dengan tiga rakan lain yang dipercayai ahli perniagaan dan kontraktor.

“Daripada apa yang saya de­ngar hasil perbualan Datuk Seri dan kawan-kawannya ketika di tee box, mereka berbincang me­ngenai projek-projek bernilai ratusan juta ringgit.

“Saya dengar mereka ada sebut projek di sebuah kementerian. Bahkan kalau projek itu berjaya, Datuk Seri itu juga berjanji untuk membawa saya bercuti sambil membeli belah. Saya juga dapat tip yang lebih (ratusan ringgit) setiap kali Datuk Seri selesai bermain golf,” katanya yang sudah lima tahun bekerja sebagai kedi.

Eina, 20-an, yang berasal dari Jakarta, Indonesia berkata, daripada apa yang dia tahu, Datuk Seri tersebut selalu bermain secara percuma kerana dibiayai oleh rakan-rakan yang terdiri daripada ahli perniagaan.

Seorang lagi kedi yang dikenali sebagai Ayu, 23, berkata, dia juga pernah terdengar perbualan seorang lelaki yang bergelar Datuk berbincang dengan dua orang rakannya mengenai projek bernilai ratusan juta ringgit.

Ayu yang sudah empat tahun bekerja di kelab golf tersebut berkata, dia mengenali Datuk berkenaan sebagai orang kerajaan kerana sering bermain golf di kelab tersebut.

“Saya juga pernah ditawarkan sebagai perempuan simpanan tetapi saya enggan. Kalau dia mahu jadikan saya isteri boleh saja kerana dia orang kaya,” katanya sambil tersenyum.

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/bincang-projek-ratusan-juta-ringgit-1.429238#sthash.jKJqhvrf.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip