Melibatkan pengurusan tertinggi agak serius
KUALA LUMPUR 1 Jan. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius tindakan penjawat awam bermain golf di luar negara khususnya dalam kalangan pengurusan tertinggi yang dikesan semakin menjadi-jadi sehingga menjuruskan kepada aktiviti rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki berkata, masalah tersebut telah berlanjutan sejak dahulu sehingga berlakunya kegiatan rasuah dan penyelewengan.
Menurut beliau, hasil maklumat, aktiviti bermain golf individu terbabit bukan sahaja dibiayai malah tiket penerbangan dan penginapan mereka juga ditanggung oleh golongan tertentu yang mempunyai kepentingan dan urusan rasmi dengan jabatan masing-masing.
“Kita tidak mahu menuding jari kepada sesiapa kerana siapa makan cili dia terasa pedasnya.
“Jadi apa yang diperkatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad sememangnya serius kerana sebelum ini masalah itu sudah berkurangan namun kita lihat sudah kembali berulang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bekas Pegawai SPRM, Datuk Razak Idris ketika dihubungi berkata, kira-kira 99 peratus penjawat awam dipercayai ke luar negara tanpa mendapat kebenaran ketua jabatan di agensi mereka.
Ujarnya, meskipun terdapat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung permohonan kebenaran itu, namun masih terdapat segelintir penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi yang tidak mengikut syarat ditetapkan.
“Masalah ini berlaku sejak dahulu lagi, oleh itu setiap ketua jabatan seharusnya bertanggungjawab dalam memastikan tujuan sebenar setiap pegawai mereka yang keluar negara agar tidak melakukan tindakan yang boleh menjejaskan nama baik agensi mereka,” katanya.
Comments
Post a Comment