Skip to main content

Wang, jongkong emas dirampas

KUALA LUMPUR 5 Jan. - Wang tunai dan jongkong emas yang kesemuanya berjumlah RM2.6 juta dipercayai mempunyai kaitan dengan ketua setiausaha sebuah kementerian bergelar Datuk yang ditahan reman bersama dua anaknya hari ini dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kesemua wang dan jongkong emas itu ditemukan dalam tiga besi peti keselamatan di dua bank tempatan di sekitar Lembah Klang pagi ini. Penemuan terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan wang tunai dan aset yang dirampas bagi membantu siasatan SPRM setakat ini bertambah kepada RM6 juta.

Menurut sumber, wang tunai berjumlah RM1 juta termasuk AUD$80,000 (RM261,704) ditemukan dalam dua peti besi bank pertama dan jongkong emas seberat lapan kilogram bernilai RM1.6 juta ditemukan di sebuah bank lain.

Ujarnya, suspek terbabit juga dikatakan mempunyai lebih 10 lot tanah di Selangor yang diletakkan atas nama ahli keluarganya.

“Setakat ini, kita masih membuat pengesahan daripada mana sumber kesemua tanah-tanah tersebut diperoleh dan menye­mak sekiranya suspek mempu­nyai harta lain di luar negara. 

Selain itu, SPRM turut bekerjasama de­ngan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi memastikan sama ada suspek berkenaan pernah membuat pembayaran sebarang cukai sejak 2010,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan seorang ketua Setiausaha kementerian berusia 59 tahun ditahan bersama anaknya yang berusia 29 tahun kerana terlibat dalam kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah.

Kedua-dua mereka ditahan pada pukul 8 pagi semalam di kediamannya di USJ Subang Jaya, Selangor.

Hasil pemeriksaan selama 12 jam di rumah suspek, SPRM me­rampas wang tunai lebih RM3 juta daripada akaun, mata wang asing serta jongkong emas. Turut dirampas ialah 150 barangan terdiri daripada tas tangan pelbagai jenama seperti Prada, Louis Vuitton dan Chanel selain jam tangan berjenama Swarovski.

Sementara itu di Putrajaya, Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab. Rahman mengeluarkan perintah reman terhadap suspek dan kedua-dua anaknya selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kes penyalahgunaan kuasa untuk menerima rasuah bermula hari ini sehingga 11 Januari ini.

Perintah reman dikeluarkan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah manakala siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 (1) Akta SPRM 2009, Seksyen 17 (A) Akta SPRM 2009 dan Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan Akta Pengubahan Wang Haram.

Tambah sumber lagi, setakat hari ini, sekurang-kurangnya lima individu telah dipanggil untuk diambil keterangan iaitu terdiri daripada kontraktor, isteri dan ahli keluarganya.
“SPRM sedang mengesan tiga lagi individu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes ini,” katanya.

Difahamkan, hasil pendapatan ‘tambahan’ yang diperolehnya dipercayai dijadikan modal untuk menjalankan perniagaan jual beli emas dan baru-baru ini suspek dikatakan telah menjual kira-kira 14.9 kilogram emas.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai perkara itu dan memaklumkan tiada tangkapan baru dibuat setakat ini.

Azam memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan lebih ramai lagi akan dipanggil untuk memberi keterangan berhubung siasatan kes ini.

Beliau juga menjelaskan, setakat ini tiada ahli politik yang disiasat berhubung kes itu.

“Kita juga sedang menyiasat kemungkinan suspek terlibat dalam kegiatan jual beli emas menggunakan modal yang diperoleh daripada hasil rasuah,” katanya.

http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/wang-jongkong-emas-dirampas-1.428493#sthash.VYFPN95v.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip