Kenapa perlu takut kalau tidak buat?

KUALA LUMPUR 9 Jan. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan penggemar sukan golf terutamanya dalam kalangan orang kenamaan tidak perlu gusar untuk bermain sukan berkenaan sekiranya tidak terlibat dengan gejala rasuah ataupun bermesra dengan kedi wanita di padang golf.

Ini berikutan, terdapat segelintir orang kenamaan yang gemar bermain golf mengeluh berhubung laporan akhbar yang mendedahkan berlakunya urusan membincangkan projek bernilai jutaan ringgit selain mendapat ‘layanan istimewa’ daripada kedi genit di lapangan golf.

Menurut sumber, pendedahan itu didakwa kononnya membawa persepsi negatif terhadap penggemar sukan terbabit malah membuatkan ramai yang ‘panas punggung’ apabila isteri masing-masing mula mengesyaki suami mereka bukan sekadar mahu beriadah, sebaliknya ingin berseronok dengan kedi wanita.

“Perkara itu sememangnya berlaku di padang golf dan laporan itu bukan dakwaan semata-mata.

“Namun apa yang penting, sekiranya niat sememangnya mahu bermain golf dan bukan tujuan bincang projek (yang dijalankan dengan cara salah) atau untuk bersama kedi wanita, kenapa perlu takut?” kata sumber itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas sumber, siasatan seme­mangnya mendapati orang ke­na­maan termasuk ahli perniagaan, pegawai kanan kerajaan dan kontraktor yang sering berbincang projek bernilai ratusan juta ringgit ini turut mendapat ‘habuan’ daripada kedi genit yang menemani mereka bermain golf.

Malah sumber mendedahkan, bagi menambah keseronokan permainan, ciuman kedi genit itu turut menjadi taruhan contohnya orang kenamaan yang mendapat catatan par akan dihadiahkan satu ciuman mesra daripada kedi wanita tersebut, manakala dua ciuman akan diberikan jika mereka melakukan birdie.

“Lebih banyak orang kena­maan ini mendapat catatan par, lebih banyak ciuman diterima dan sekiranya melakukan birdie berganda, makin bergandalah ju­ga ciumannya.

“Jadi, tidak hairan layanan istimewa yang diberikan di padang golf tidak berakhir di situ sahaja malah berlarutan sehingga ke pe­ringkat keluar membeli-belah dan makan bersama serta tidak mustahil hingga ke bilik tidur,” ujarnya.

Tambah sumber, layanan istimewa itu bukan sahaja diterima di kelab golf tempatan malah turut menjadi kebiasaan sekiranya orang kenamaan mengunjungi kelab golf negara jiran, antaranya Indonesia dan Vietnam yang semestinya menawarkan perkhid­matan kedi yang lebih cantik berbanding di Malaysia.

Pembongkaran Laporan Khas Mingguan Malaysia sebelum ini mendedahkan perbincangan projek bernilai ratusan juta ringgit antara ahli perniagaan, kontraktor dan pegawai kanan kerajaan menjadi topik utama setiap kali mereka bermain golf di kelab ter­kenal negara ini.

Semua itu diakui beberapa kedi wanita yang dikategorikan ‘kelas A’ malah mereka turut memaklumkan pernah dijanjikan percutian sambil membeli-belah oleh seorang lelaki bergelar Datuk Seri sekiranya projek yang dimaksudkan berjaya dan ada juga kedi yang ditawarkan menjadi peneman tidur dengan bayaran lumayan.

Dalam laporan Utusan Malaysia hari ini juga, SPRM telah mengesahkan kedi wanita di kelab golf terkenal negara sebagai salah satu sumber yang ditemui bagi mendapatkan maklumat berhubung aktiviti rasuah yang dibincangkan antara pegawai kanan kerajaan dan kontraktor di padang golf.

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip