Go SPRM Go: Perangi Rasuah Habis-Habisan

DI negara ini, usaha memerangi rasuah antara isu yang sering menerima reaksi sinikal. Msyarakat secara umum masih dihasut untuk beranggapan: Usaha memerangi rasuah hanya kempen semata-mata. Malah, setiap kali tangkapan dibuat, tindak-balas awam selalunya: “Tangkap bilis, jerung bebas!”
SPRM berusaha keras memastikan perang terhadap rasuah diteruskan. SPRM dalam era kini, agresif dalam bertindak. Apa lagi ketika imej dan reputasi institusi itu, sengaja diperlekeh dan dicemarkan dengan isu 1MDB.
Apa saja usaha SPRM lakukan sejak isu itu, sengaja dijadikan kontroversi. Penjahat sosial dengan niat jahat akan menghasut orang awam supaya bersikap skeptikal.
Penjahat sosial sering memburukkan imej SPRM dengan tuduhan gagal menangani isu utama negara.
Rasuah tidak boleh dibiarkan berlaku hanya kerana persepsi awam terhadap 1MDB. SPRM tidak sesekali membiarkan institusi penting dalam perang menentang rasuah itu, dibiarkan lumpuh begitu sahaja. Rasuah tidak boleh diabaikan hanya kerana tekanan persepsi awam.
Inilah kehebatan SPRM.
Setelah menggemparkan negara dengan tangkapan isu Watergate di Sabah babitkan RM65 juta tahun lalu, SPRM melangkah dan terus melangkah.
Hari ini satu lagi skandal besar didedahkan. Ini kejayaan terbaharu SPRM dan sekali lagi babitkan siasatan terhadap penjawat tinggi kerajaan berjawatan Ketua Setiausaha Kementerian. Hasil penemuan dalam serbuan kelmarin juga mengejutkan: SPRM merampas RM3 juta dalam bentuk jongkong emas dan wang tunai.
Selain serbuan, SPRM turut agresif dalam memberi peringatan kepada penjawat awam. Terutama yang bos-bos. Jangan asyik ke luar negara dan bermain golf dengan individu yang mempunyai kepentingan perniagaan dengan kementerian. Paling daring: Jangan ada perempuan simpanan.
Amaran ini tanda SPRM tahu demografi dan psikografi penjawat awam yang kuat makan rasuah. Justeru, kita tabik. Malah, kita harap SPRM kekal agresif. Bongkar dan tangkap. Jadilah juara rakyat dalam usaha memastikan hasil dan sumber negara tidak lenyap dalam urusan rasuah.
Kita yakin, lebih banyak keberanian akan dilakukan SPRM. Kita sudah lama mencegah, malah sudah jemu pun. Ini masa SPRM bertindak. Tangkap dan seret ke mahkamah. Biar Black Maria bersesak-sesak dan mahkamah penuh dengan perasuah.
Ini masa kita bertindak. Lakukan secara perundangan. SPRM juara rakyat yang mesti adil pada semua. Kita negara berdaulat yang berteraskan undang-undang.
Di negara jiran, perasuah akan dibawa naik helikopter dan akan ditendang keluar dari udara dan jatuh bumi. Ini ikras Presiden sendiri. Nyata, begitulah tahap betapa marahnya dunia pada rasuah. – mynewshub.cc

http://www.mynewshub.cc/utama-sensasi/go-sprm-go-perangi-rasuah-habis-habisan/

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip