KENAPA RESAH 'PERANG GOLF' SPRM?

Apabila Ketua Pesuruh­jaya Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad memberi amaran supaya penjawat awam khususnya pengurusan tertinggi menghentikan aktiviti bermain golf di luar negara, ramai yang ‘kepanasan’.

Ada yang mempersoalkan apa salahnya bermain golf dan ada pula bertanya kenapa hanya penjawat awam yang menjadi sasaran, apa agenda SPRM? Dua persoalan ini sudah dijawab oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dalam wawancara de­ngan MACC.FM, kelmarin.

Kata Azam bermain golf tidak salah kerana beliau pun bermain golf, tetapi apa yang menjadi persoalannya adalah tindakan pegawai kanan kerajaan yang berbuat demikian dengan disertai oleh kontraktor dan pembekal.

“Jadi yang pergi ikut serta adalah terdiri kontraktor dan pembekal. Kalau pergi seorang tidak apa, kadang-kadang satu pejabat pergi. Ini bukan sahaja melibatkan pegawai persekutuan tetapi juga membabitkan pegawai negeri, daerah dan pihak berkuasa tempatan,’’ kata Azam dalam wawancara tersebut.

Bagi pihak yang membangkitkan soal kenapa penjawat awam menjadi sasaran, ini boleh dianggap soalan dangkal, begitu juga dengan tindakan mempersoalkan agenda SPRM. Agensi tersebut tidak ada apa-apa agenda, agenda SPRM seperti mana ditegaskan oleh Dzulkifli adalah: “Saya melihat amalan rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam adalah pengkhianatan kepada rakyat dan negara.’’

Sebab itulah awal-awal lagi ketika dilantik menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli memberi amaran kepada semua penjawat awam yang terlibat dalam sebarang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa untuk segera ­menyerah diri atau tunggu tindakan tegas daripada SPRM.

Dan SPRM mula bertindak yang menyaksikan pada 2016 pelbagai kes berprofil tinggi melibatkan penyelewengan wang berpuluh-puluh juta ringgit berjaya dibongkar, tetapi malangnya ada yang masih mempersoalkan ­ketelusan SPRM.

Ini termasuklah melahirkan kekecewaan kerana ada kes tertentu tidak dibawa ke mahkamah dan menyebabkan seseorang berasa berdosa kepada rakyat Malaysia. Tetapi per­soalannya adakah semua kes di bawah siasatan SPRM dibawa ke mahkamah? Jika SPRM menjalankan siasatan dan mendapati tiada bukti yang betul-betul konkrit untuk mensabitkan ­kesalahan seseorang, adakah kes itu perlu juga dibawa ke mahkamah?

Dalam menyentuh soal ini, seorang pegawai kanan sebuah agensi penguat kuasa pernah berkata kepada penulis: “Kalau setakat hendak bawa kes berprofil tinggi ke mahkamah bagi mendapat publisiti apatah lagi sekadar mahu mengejar ranking buat apa. Kalaulah peguam negara sudah memutuskan tiada kes maka kita kena patuh. ­Memanglah sebagai pegawai atau pasukan penyiasat kita akan berasa kecewa tetapi dalam masa sama kita perlu akur kepada peruntukan undang-undang sedia ada.’’

Berdasarkan hujah itu adalah wajar jika mana-mana pihak tidak berasa kecewa seolah-olah ‘dunia akan kiamat’ kalau sesuatu kes tersebut tidak dibawa ke mahkamah selepas ia diteliti oleh Jabatan Peguam Negara. Jabatan tersebut sudah tentulah membuat keputusan berdasarkan kajian undang-undang yang mendalam apatah lagi jika ia melibatkan kes berprofil tinggi.

Bagaimanapun penulis yakin apapun tohmahan, dakwaan dan serangan ke atas SPRM, ia tidak akan menjadi ‘kudis’ kepada agensi tersebut. SPRM perlu terus teguh meneruskan perjuangan membanteras penjawat awam yang mengamalkan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Biarlah sesiapapun untuk mewujudkan persepsi buruk kepada SPRM, apatah lagi mahu dilihat sebagai pejuang tegar kebenaran dan ketelusan. SPRM bertindak berdasarkan peruntukan undang-undang dan bukannya memenuhi agenda sesiapa.

Oleh itu ‘peperangan’ ke atas penjawat awam yang mengamalkan rasuah perlu diteruskan dan diperhebatkan, begitu syarikat milik kerajaan (GLC). Terlalu banyak cerita yang didengar, terlalu banyak khabar yang disebarkan, semua itu memerlukan tindakan segera, tegas dan proaktif sebelum barah rasuah dan salah guna kuasa merebak lebih jauh dan merobek keseluruhan integriti institusi perkhidmatan awam itu sendiri.’’

Begitulah juga dalam isu bermain golf di luar negara melibatkan penjawat awam. Mereka boleh berbuat demikian jika ada kemampuan disebabkan merasakan ‘padang golf’ di luar negara lebih menarik, tetapi biarlah pergi dengan belanja sendiri tanpa ditaja oleh sesiapa atau disertai oleh mana-mana individu yang boleh menimbulkan fitnah dan mencetuskan keraguan.

Bagi sesetengah penjawat awam yang selama ini ‘sudah biasa segala-galanya diuruskan’ mungkin tidak akan tidur lena dengan ‘perang golf’ yang sedang dilancarkan oleh SPRM. Mereka merasakan bila-bila masa ‘peluru’ SPRM akan ‘menembusi dada’, tetapi itulah risiko dan akibat yang perlu ditanggung apabila mereka begitu seronok bergelumang dalam medan sumber ha­ram.

Kesimpulannya, SPRM perlu terus melaksanakan jihad ­memerangi rasuah dalam kala­ngan penjawat awam, GLC dan agensi penguat kuasa. Teruskan operasi. seretlah petualang-petulang pengamal rasuah tersebut ke muka pengadilan.

Tidak peduli ‘bilis atau jerung’ kerana bak kata, Dzulkifli “anai-anai atau nyamuk yang kecil jika tidak dibasmi atau dicegah akan turut membawa kerosakan, wabak dan kemudaratan besar kepada masyarakat”.

Begitulah juga dalam kalangan penjawat awam, tidak semua terlibat dengan rasuah, tetapi imej perkhidmatan awam akan terus terjejas, jika ‘bilis, jerung, anai-anai dan nyamuk terus dibiarkan membiak.’’ Oleh itu berani buat, beranilah tanggung. Ja­ngan kerana mahu hidup mewah, akhirnya papa kedana di sebalik tirai besi!

http://www.utusan.com.my/rencana/kenapa-resah-perang-golf-sprm-1.428282

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip