Empat polis ditahan




KUALA LUMPUR 20 Mac - Lagi penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kali ini melibatkan seorang pegawai serta tiga anggota polis terdiri daripada Inspektor, Sarjan Mejar dan dua Koperal kerana dipercayai mengambil rasuah daripada pengusaha lori dan peniaga air ketum.

Menurut sumber, semua suspek berusia antara 31 sehingga 57 tahun itu ditahan kira-kira pukul 9 pagi ini dalam serbuan berasingan di tiga negeri.

Katanya, dalam kes melibatkan pengusaha lori, seorang anggota berpangkat sarjan Mejar dan Koperal ditahan di Kulim, Kedah kerana dipercayai telah menyalahgunakan kedudukan mereka untuk meminta dan mengambil wang rasuah berjumlah antara RM850 dan RM900 secara bulanan.

“Pengusaha lori ini diminta membayar wang agar tidak dikenakan saman atas beberapa kesalahan lalu lintas yang sering dilakukan pemandu mereka antaranya tidak mempunyai insurans, tiada cukai jalan dan kesalahan-kesalahan lain di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Tambah sumber, hasil siasatan SPRM turut mendapati kedua-dua suspek tersebut menerima wang rasuah sejak empat bulan lalu dengan bayaran RM3,500.

Semalam, Mingguan Malaysia mendedahkan kerajaan kerugian berbilion-bilion ringgit akibat amalan rasuah berkonsep ‘strategi lautan biru’ pada segelintir agensi-agensi penguat kuasa.

Difahamkan, amalan rasuah seumpama itu berlaku melalui penyeludupan dan kemasukan barang-barang dari beberapa pelabuhan utama.

Selain itu, kewujudan rasuah ‘ala strategi lautan biru’ ternyata berlaku apabila SPRM mengenal pasti beberapa pegawai penguat kuasa disyaki mengambil wang suapan bagi melindungi pengusaha air ketum.

Dalam pada itu, di Raub, Pahang dan Pulau Pinang pula, seorang pegawai berpangkat Inspektor dan anggota berpangkat Koperal ditahan kerana dipercayai mengambil rasuah sebagai wang perlindungan daripada peniaga-peniaga air ketum.

Ujar sumber, kedua-dua suspek tersebut disyaki telah mengambil wang rasuah berjumlah antara RM2,000 antara RM3,500 untuk melindungi pe ngusaha-pengusaha air ketum ini supaya tindakan undang-undang tidak diambil ke atas mereka.

“Peniaga air ketum ini dipercayai memperoleh pendapatan bersih sehingga RM350 sehari yang menjadi mereka tidak kisah untuk membayar wang perlindungan itu. Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kesemua mereka akan direman esok untuk membantu siasatan.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip