Koperal tak mengaku salah makan suap



Kangar: Koperal polis bertugas di Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM4,000 pada April serta Mei tahun lalu.
Tertuduh, Abdul Halim Darus, 59, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima suapan wang tunai RM3,000 daripada Fifi Adefi Yusof, 27, (pengadu) di Lot F8784/8788, Kampung Melayu, Jalan Belakang Balai Bomba, Padang Besar, dekat sini, pada jam kira-kira 3 petang, 7 April tahun lalu.
Pertuduhan kedua pula, dia didakwa meminta suapan RM3,000 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) menggunakan nombor telefon peribadinya ketika berada di Lot F8784/8788, Kampung Melayu Jalan Belakang Balai Bomba, Padang Besar, dekat sini pada jam 12.24 tengah hari, 4 Mei tahun lalu.
Seterusnya Abdul Halim dituduh menerima suapan wang tunai RM1,000 daripada Fifi Adefi di kawasan parkir pejabat AKSEM Padang Besar pada jam kira-kira 9.50 malam, 6 Mei tahun lalu.
Tertuduh didakwa menerima dan meminta rasuah sebagai dorongan untuk dirinya yang bertugas di AKSEM untuk tidak mengambil tindakan ke atas pengadu yang disyaki menyeludup daun ketum ke Thailand.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Abdul Halim dituduh mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan.
Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM, Syahrul Khuzaini Amiruddin manakala tertuduh diwakili peguam, Aida Nabihah Mukhtar.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,500 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 serta 23 Mei ini bagi perbicaraan.


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip