Sogok untuk orang lain



Kuala Lumpur: Individu yang menawarkan sogokan sebanyak RM2 juta kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Ismail bagi mencadangkan senarai nama tertentu mendapat gelaran Tan Sri dikenal pasti sebagai seorang ahli perniagaan berketurunan Cina.

Sumber berkata, lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikatakan sudah memiliki gelaran dan menawarkan sogokan itu untuk sekumpulan ahli perniagaan lain.

Bagaimanapun, katanya, tidak dapat dipastikan jumlah ahli perniagaan yang terbabit untuk melobi bagi mendapatkan gelaran Tan Sri itu.

“Sudah pasti semua mereka sudah mempunyai gelaran tertentu sebelum ini. Siasatan masih dijalankan,” katanya.

Kes itu mendapat perhatian selepas Sultan Ibrahim, kelmarin, mendedahkan ada individu menawarkannya ganjaran sebanyak RM2 juta untuk mencadangkan nama kepada Ketua Setiausaha Kerajaan bagi mendapatkan gelaran Tan Sri yang akan dikurniakan Yang di-Pertuan Agong.

Bagi membantu siasatan, baginda berkenan berjumpa Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad dan pegawai kanan SPRM berhubung maklumat individu yang cuba merasuah baginda bagi mendapatkan darjah kebesaran membawa gelaran Tan Sri.

SPRM dalam kenyataannya di sini, semalam berkata, SPRM sudah memperoleh maklumat berkaitan dan baginda sudah mengenal pasti individu terbabit.

Katanya, SPRM akan memastikan siasatan telus dijalankan dan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan undang-undang.

“SPRM menyanjung tinggi sokongan penuh baginda terhadap SPRM serta komitmen berterusan dalam memerangi, menghapuskan jenayah rasuah dan salah guna kuasa di negara ini khususnya di Johor,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/node/216836

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip