KENYATAAN MEDIA RASMI SPRM: FAS PERSATUAN SUKAN PERTAMA TANDATANGANI IKRAR BEBAS RASUAH
Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) hari ini telah mengorak langkah baru sebagai persatuan sukan pertama di Malaysia menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) atau Corruption Free Pledge yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Presiden FAS, Dato’ Sri Subahan Kamal telah mendahului penandatanganan IBR dengan diikuti oleh 15 Exco dan kapten pasukan bola sepak Selangor.
Majlis tandatangan IBR itu disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Dato’ Azam Baki.
Inisiatif ini sekaligus memperlihatkan kesungguhan FAS dalam memastikan pentadbiran persatuan itu dilaksanakan dengan lebih telus serta bebas daripada sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berkaitan.
Justeru itu, SPRM dan FAS akan bekerjasama dalam memastikan tidak berlakunya jenayah rasuah, mengatur perlawanan dan salah guna kuasa khususnya di negeri Selangor.
SPRM juga percaya dengan adanya IBR sebagai petunjuk, ia akan melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berintegriti dan berkualiti.
IBR merupakan satu usaha baru yang diperkenalkan oleh SPRM yang mana menekankan kepada ikrar serta janji dalam kapasiti sebagai individu oleh mereka yang terlibat bagi menjunjung tanggungjawab untuk menghindari diri daripada terlibat dengan sebarang gejala rasuah dan salah guna kuasa sepanjang melaksanakan tugas.
SPRM berharap inisiatif ini dapat memelihara dan meningkatkan keyakinan rakyat bukan sahaja terhadap SPRM dan FAS malah persatuan-persatuan sukan yang lain di negara ini dalam usaha berterusan untuk memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
28 MAC 2017
Comments
Post a Comment