Wanita Vietnam beri rasuah RM800,000 didakwa

KUANTAN: Seorang wanita Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memberi rasuah berjumlah RM800,000 kepada dua pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). 

Tertuduh, Tran Thi Mai, 41, didakwa menawarkan wang tunai RM800,000 kepada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyamar sebagai orang tengah untuk diserahkan kepada Kapten Nurul Hizam Zakaria dan Kapten Amran Daud, pada pukul 9.40 pagi, 5 November lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah hotel di sini, sebagai suapan kepada dua pegawai APMM bagi melepaskan sembilan bot nelayan Vietnam yang ditahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Bagi kesalahan itu, Tran didakwa mengikut Seksyen 16(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. 

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohamad Fadhly Mohd Zamry di hadapan Hakim Dazuki Ali.  Mohamad Fadhly turut memohon mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap tertuduh yang bukan warga negara dan tidak memiliki status penduduk tetap.

"Siasatan SPRM juga mendapati tertuduh adalah pemilik syarikat pengusaha bot nelayan dan dikhuatiri jika diberikan jaminan, tertuduh boleh melarikan diri bukan dengan menaiki kapal terbang, tetapi melalui perairan.

"Bagaimanapun, pihak kami berharap jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, ia harus mengambil kira nilai rasuah iaitu RM800,000 dan pihak pendakwaan mohon supaya ditetapkan sebanyak RM1 juta dengan syarat pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah," katanya.

Peguam mewakili tertuduh, GK Sritharan bagaimanapun mengemukakan rayuan agar ikat jamin dibenarkan kerana anak guamnya tidak akan melarikan diri kerana memiliki harta di Malaysia, selain menyertai program Malaysia My Second Home di negara ini. 

Dazuki selepas mempertimbangkan hujahan kedua-dua pihak menetapkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan dua penjamin warga negara Malaysia bersama syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh melaporkan diri ke balai polis Kuantan setiap bulan. 

Sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember ini.

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2017/11/349040/wanita-vietnam-beri-rasuah-rm800000-didakwa

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip