Pegawai polis dipenjara 20 hari, denda RM25,000 mengaku terima rasuah
KUCHING 11. - Seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dijatuhi hukuman penjara 20 hari dan denda RM25,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan menerima wang suapan bernilai RM5,000 pada 2015.
Hukuman ke atas tertuduh, Azrul Izman Shadan, 35, dijatuhkan oleh Hakim Nixon Kennedy Kumbong.
Mengikut kertas pertuduhan, Azrul didakwa menerima wang suapan RM5,000 daripada seorang wanita, Amy Yip Su Ling sebagai dorongan mengembalikan barangan kemas yang dirampas selepas suami wanita terbabit terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah bilik di RH Hotel Sibu pada pukul 4 petang, 13 Mac 2015.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Pendakwaan diwakili oleh Pegawai Penyiasat SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi, manakala tertuduh tidak diwakil peguam.
http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/pegawai-polis-dipenjara-20-hari-denda-rm25-000-mengaku-terima-rasuah-1.588494#ixzz53rBnMGrS
Comments
Post a Comment