SPRM kerjasama dengan JITN

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memberi komitmen sepenuhnya terhadap usaha kerajaan membanteras rasuah, termasuk melalui penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN).

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Dzulkifli Ahmad, menegaskan tugas serta tanggungjawab SPRM juga tidak akan terjejas dengan penubuhan agensi berkenaan dan pihaknya akan memastikan apa saja yang dirancang akan berjalan dengan baik.

"Kita juga akan memastikan agensi kerajaan mempunyai pengurusan dan tadbir urus yang baik serta bersih dari gejala rasuah," katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Paluan Berundur Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah di sini, hari ini.

Dzulkifli berkata demikian berhubung laporan mengenai Pegawai Integriti Bertauliah SPRM yang akan digantikan oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di unit integriti agensi kerajaan, melalui penubuhan JITN.

Pada 25 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan memaklumkan Kabinet bersetuju menubuhkan JITN sebagai langkah menaik taraf Bahagian Integriti dan Tadbir Urus (BITU) sedia ada.

Sementara itu, Mohd Jamidan, 60, yang akan bersara wajib bermula esok akan digantikan dengan Datuk Jaafar Mahad, 58, yang kini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Integriti di Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan akan memulakan tugas baharunya pada 1 Februari ini.

Selain itu, Timbalan Pengarah SPRM Selangor, Razaliah Ab Rahman akan dilantik sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur, bagi menggantikan Datuk Han Chee Rull yang akan turut bersara wajib.

Pada majlis itu, Dzulkifli turut merakamkan penghargaan kepada Mohd Jamidan yang sudah berkhidmat selama 35 tahun dengan SPRM termasuk jasa beliau dalam pembinaan kompleks baharu ibu pejabat SPRM di sini dan pembangunan pejabat baharu SPRM Selangor.

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/379126/sprm-kerjasama-dengan-jitn

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip