Warga Pakistan didakwa cuba rasuah polis

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki warga Pakistan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas dakwaan cuba merasuah seorang anggota polis bagi tujuan dilepaskan kerana tidak memiliki lesen memandu, Isnin lalu.

Tertuduh, Zeb Gulab, 24, didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang dibaca di hadapan Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memberi suapan RM200 kepada Lans Koperal Sebri Shukri di Mukim Kijal, Kemaman, jam 8.30 malam, pada 8 Januari lalu.

Suapan diberikan sebagai dorongan untuk tidak dikenakan tindakan kerana melakukan kesalahan Seksyen 58(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu gagal mengemukakan dokumen lesen memandu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan sebelum mahkamah menetapkan 31 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk penyediaan jurubahasa.

Tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mohd Hanafi Abd Rahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, tertuduh ditahan selepas memberikan rasuah sebanyak RM200 kepada seorang Lans Koperal yang menjalankan tugas rondaan di Ayer Puteh, Kemaman.

Tertuduh yang bekerja di sebuah ladang dipercayai bertindak sedemikian sebagai balasan agar anggota terbabit melepaskannya kerana tidak memiliki lesen memandu.


http://www.sinarharian.com.my/semasa/warga-pakistan-didakwa-cuba-rasuah-polis-1.782110

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip