Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah
KANGAR: Seorang penolong arkitek landskap didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku salah atas lima pertuduhan menerima rasuah dua tahun lalu.
Keputusan itu dibuat hakim Johari Hassan ke atas Sazali Ibrahim, 45, yang turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara lapan bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh yang berkhidmat di Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, didakwa menerima wang tunai berjumlah RM6,000 melalui lima transaksi antara tempoh 7 Januari 2016 hingga 3 Jun 2016.
Wang suapan itu didakwa diterima tertuduh tanpa sebarang balasan daripada Masyitah Zubir, 37, yang mana wanita itu diketahuinya mempunyai hubungan dengan kerja rasminya di UiTM Perlis.
Berdasarkan pertuduhan, Sazali pada 7 Januari 2016 didakwa secara rasuah menerima wang tunai RM4,000 melalui akaun bank miliknya daripada Masyitah.
Tertuduh turut didakwa mengulangi kesalahan sama sebanyak empat kali dengan cara sama iaitu membabitkan wang tunai RM1,000 pada 4 Februari 2016, diikuti RM300 pada 20 April 2016, RM400 pada 26 April 2016 dan RM300 lagi pada 3 Jun 2016.
Bagi semua lima kesalahan dilakukan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Alif Farhan Hassan, manakala Sazali diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shuhaila Ahmad.
https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/373390/penolong-arkitek-uitm-didenda-kes-rasuah
Comments
Post a Comment