Anggota Aksem diberkas disyaki minta rasuah

KANGAR - Seorang anggota risik Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) Padang Besar disyaki meminta rasuah daripada seorang penyeludup daun ketum ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) malam tadi.
Menurut Pengarah SPRM Perlis, Yaakob Angah anggota terbabit berpangkat Koperal berumur 58 tahun, diberkas dalam kem Aksem Padang Besar kira-kira pukul 10 malam.
"SPRM menahan Koperal itu setelah seorang lelaki mendakwa penyeludup daun ketum melalui sempadan Malaysia dan Thailand mengadu suspek meminta RM1,000 daripadanya empat hari lepas supaya tidak mengambil tindakan terhadapnya.
Semasa ditahan, pasukan SPRM menemui wang tunai RM11,200 dalam bag sandang Koperal itu lalu dirampas dan disita untuk disiasat kerana membawa wang dalam jumlah yang banyak," kata Yaakob kepada pemberita di sini, hari ini.
"Penyeludup terbabit yang membeli daun ketum daripada penduduk sekitar Padang Besar turut mendakwa kali pertama anggota AKSEM itu meminta RM3,000 sebagai wang perlindungan daripada beliau kira-kira sebulan lepas," tambahnya.
Yaakob berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0507&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_09.htm#ixzz487k5c09o 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip