Guan Eng selesai beri keterangan kepada SPRM
GEORGE TOWN 7 Mei - Proses merekod keterangan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berhubung isu pembelian banglo dan penjualan tanah di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang selesai hari ini.
Peguam yang mewakili Guang Eng, R.S.N Rayer berkata, proses merekod keterangan ketua menteri itu yang bermula semalam selesai hari ini dan pihaknya dimaklumkan Guang Eng akan dipanggil semula jika ada keperluan.
"Saya difahamkan oleh pegawai SPRM kalau diperlukan mereka akan maklumkan dan mungkin akan ada satu sesi lagi. Buat masa ini selesai.
"Kalau ada apa-apa perkembangan SPRM akan menghubungi kami dan memohon jasa baik ketua menteri untuk datang beri keterangan," katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan Ibu Pejabat SPRM Pulau Pinang, Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini hari ini.
Terdahulu, Guang Eng hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang pada 10.05 pagi ini untuk direkodkan keterangan dan berakhir pada 7.45 malam.
Keterangan yang direkodkan itu dipercayai berhubung pembelian banglo oleh Guang Eng di Jalan Pinhorn dan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin, di sini.
Usaha petugas media yang menunggu di luar pejabat SPRM Pulau Pinang sejak pagi ini untuk mendekati Guang Eng bagaimanapun gagal.
Semalam, Guang Eng dan isterinya Betty Chew hadir di pejabat SPRM Pulau Pinang untuk direkodkan keterangan. Mereka adalah antara enam individu yang dipanggil memberikan keterangan oleh SPRM berhubung siasatan kes pembelian banglo dan penjualan tanah di Taman Manggis.
Empat lagi individu yang dipanggil memberikan keterangan ialah Pegawai Khas Guang Eng, Jeffrey Chew; seorang lelaki yang merupakan pekerja syarikat Winbond Management and Consultant Sdn. Bhd.; pemilik asal banglo, Phang Li Koon; dan pemilik Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn. Bhd. (KLIDC), Datuk Tang Yong Chew.
Pembelian banglo itu dengan harga RM2.8 juta mencetuskan kontroversi apabila Ahlil Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya membangkitkannya pada persidangan Dewan Rakyat dan mendakwa harga itu di bawah nilai pasaran.
Proses jual beli itu juga didakwa mempunyai kaitan dengan penjualan tanah negeri di Taman Manggis yang diperuntukan bagi pembinaan projek perumahan rakyat termiskin.
KLIDC telah membeli tanah itu daripada kerajaan negeri. - BERNAMA
Comments
Post a Comment