MQA Agensi Pertama Di Malaysia Akan Dinilai ISO 37001

PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menjadi agensi pertama di Malaysia yang akan dinilai dan dipantau di bawah Sistem Pengurusan Anti Rasuah - ISO 37001.

Sijil pengiktirafan ISO 37001 merupakan ukuran kawalan sistem pencegahan rasuah bagi membantu organisasi melaksanakan sistem pengurusan yang efektif dalam mencegah, mengesan dan menangani rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata SPRM akan membantu MQA untuk mendapatkan sijil pengiktirafan ISO 37001 itu.

"Ia termasuk menerima pakai dasar dan polisi anti rasuah, melantik seseorang untuk mengawasi pematuhan anti rasuah, latihan, penilaian risiko, melaksanakan kawalan kewangan, komersial, memulakan prosedur laporan dan penyiasatan," katanya selepas menandatangani Ikrar Integriti Korporat MQA dan SPRM di Menara PKNS di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata ia bergantung kepada badan dunia sistem piawaian ISO 37001 yang akan membuat penapisan sebelum memberikan sijil pengiktirafan kepada sesebuah organisasi.

Mustafar berkata ISO 37001 yang melibatkan beberapa negara di seluruh dunia, masih lagi di peringkat perangkaan badan dunia sistem piawaian di Mexico dan dijangka akan selesai pada bulan ini serta akan dikuatkuasakan pada September ini.

Katanya, sijil pengiktirafan itu boleh digunakan oleh mana-mana organisasi tanpa mengira saiz organisasi, jenis organisasi dan risiko rasuah yang dihadapinya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA Datuk Prof Dr Rujhan Mustafa berkata pihaknya akan menubuhkan sebuah pasukan tindakan (task force) bersama SPRM untuk menyiapkan organisasi tersebut bagi melepasi ukuran standard yang ditetapkan.

Beliau berkata sijil pengiktirafan itu penting untuk MQA bagi membuktikan organisasi itu memerangi rasuah dan menggalakkan budaya perniagaan yang beretika.

Terdahulu, ikrar yang ditandatangani oleh Mustafar dan Rujhan itu disaksikan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi MQA Prof Emeritus Tan Sri Dr Abu Hassan Othman.

Ikrar integriti tersebut merupakan komitmen sukarela MQA ke arah mewujudkan budaya kerja berprinsip tinggi dan berintegriti.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip