SPRM tetap siasat KM Pulau Pinang
KUALA LUMPUR 4 Mei - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tetap meneruskan siasatan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa membeli banglo pada harga luar biasa murah dalam keadaan apa sekalipun.
Sehubungan itu, sumber SPRM menegaskan, setakat ini agensi itu tidak membuat sebarang keputusan untuk menutup kes tersebut.
“Kita akan menyiasat kes itu sehingga selesai dan lengkap. Ia kini berada di peringkat akhir siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Penegasan itu diberikan berikutan kenyataan Ketua Polis Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab yang menyatakan Jabatan Peguam Negara memutuskan ahli perniagaan, Phang Li Koon yang dikenali sebagai Miss Phang tidak melakukan kesalahan berhubung akuan bersumpah (SD) yang dibuat beliau pada 22 Mac lalu.
Bercakap kepada pemberita di Pulau Pinang, Abdul Ghafar berkata, berikutan itu kes berkenaan yang disiasat di bawah Seksyen 199 Kanun Keseksaan diklasifikasikan sebagai tiada kes dan ditutup.
Polis sebelum ini membuka kertas siasatan selepas menerima beberapa laporan mendakwa Miss Phang membuat SD palsu berhubung penjualan banglonya kepada Guan Eng.
Banglo itu yang terletak di Jalan Pinhorn, Jelutong, Pulau Pinang, dibeli Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan tahun lalu pada harga hanya RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran semasa hartanah sedemikian di kawasan tersebut boleh mencecah sehingga RM5 juta.
Bagaimanapun dalam satu kenyataan dua perenggan hari ini, Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menafikan dakwaan kononnya jabatan itu sudah membuat keputusan untuk menutup kes siasatan ke atas Li Koon berhubung akuan sumpah berkenaan.
Sebaliknya menurut beliau, kes tersebut masih dalam proses kajian dan tindakan di bawah pihaknya.
“Jabatan Peguam Negara menegaskan sehingga kini pihak kami belum membuat sebarang keputusan berkaitan kes berkenaan dan ia masih dalam proses kajian dan tindakan kami,” katanya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/sprm-tetap-siasat-8232-km-pulau-pinang-1.315499#sthash.7KcOV8MV.dpuf
Comments
Post a Comment