KUISAS AGENSI KE 931 TANDATANGANI CIP, SPRM PERLUAS KERJASAMA PERANGI RASUAH BERSAMA IPT









Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperluaskan kerjasama memerangi rasuah bersama institut pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di seluruh negara menerusi Ikrar Integriti Korporat (CIP).

Terbaharu, Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menzahirkan komitmen memerangi rasuah dengan menandatangani CIP di Kuala Kangsar, hari ini.

KUISAS muncul sebagai agensi ke 931 di seluruh negara serta IPT pertama di negeri Perak yang menyahut usaha dan inisiatif SPRM tersebut pada tahun ini.

Bagi pihak KUISAS, CIP ditandatangani oleh Rektor KUISAS, Y. Bhg. Tan Sri Prof. Dr. Nordin Bin Kardi manakala SPRM diwakili oleh Pengarah SPRM Perak, Ybhg. Dato’ Nooraziah Abd. Manaf serta disaksikan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Y. Bhg. Dato’ Sri Hj Mustafar Bin Hj Ali.

Pada majlis tersebut, Nordin turut mengetuai seramai kira-kira 320 warga KUISAS melafazkan ikrar integriti.

Sementara itu, Mustafar berkata, CIP yang merupakan jalinan kerjasama antara mana-mana agensi dan SPRM untuk membanteras rasuah perlu dijadikan sebagai satu komitmen dan bukan majlis menandatangani semata-mata.


Beliau berkata, SPRM sentiasa menggalakkan mana-mana agensi untuk menandatangani CIP kerana usaha mencegah rasuah itu merupakan tanggungjawab semua pihak.

Dalam pada itu, Nordin berkata, KUISAS tidak mahu ketinggalan dalam usaha membanteras rasuah dan berhasrat agar langkah proaktif begini dapat mempertingkatkan mutu tadbir urus khususnya urusan perolehan.

Terdapat lima prinsip dalam ikrar berkaitan CIP iaitu mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik; memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen yang menyokong pencegahan rasuah; dan pematuhan undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah.

Selain itu, prinsip CIP turut mencakupi usaha membanteras sebarang bentuk amalan rasuah dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM.



SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
KUALA KANGSAR

16 MEI 2016



Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip