Bank Muamalat Tandatangani Ikrar Integriti Korporat - SPRM

PUTRAJAYA, 3 Mei (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd menjadi institusi perbankan kelima dan organisasi ke-906 menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) di negara ini bagi menzahirkan komitmen membanteras rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali berkata kesalahan rasuah melibatkan industri korporat adalah aspek yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan dasar pembanterasan rasuah secara lebih efektif.

"Di SPRM kami percaya rasuah diambil kira sebagai punca daripada kegagalan institusi dan bukannya keruntuhan moral individu.

"Membina satu sistem yang utuh dan institusi yang seimbang adalah cara terbaik memerangi rasuah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada majlis menandatangani CIP yang berlangsung di Kuala Lumpur itu, Mustafar mewakili SPRM, manakala Bank Muamalat diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Redza Shah Abdul Wahid. Ia disaksikan Pengerusi Bank Muamalat Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Mustafar turut berharap lebih banyak organisasi terutamanya institusi perbankan tampil menandatangani CIP memandangkan integriti dan tadbir urus yang baik adalah aspek utama yang perlu diberi keutamaan oleh setiap organisasi selain keuntungan.

Sementara itu, Mohd Munir berkata Bank Muamalat telah membangun dan melaksanakan pelbagai polisi dan prosedur dalam memerangi rasuah melibatkan aspek tadbir urus korporat bagi membasmi budaya rasuah dalam kalangan pegawainya, pelanggan dan vendor.

Antara inisiatif yang dibentuk termasuk memastikan pematuhan terhadap CIP, mengadakan program kesedaran, mengukuhkan proses dan prosedur berkaitan rasuah dan pemantauan aktiviti pegawai-pegawai dari semasa ke semasa.

-- BERNAMA


Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip