2 rakan didakwa terima rasuah bantu proses urusan sijil kematian

KUALA LUMPUR 12 Julai - Dua rakan termasuk seorang bekas pekerja Pos Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah lebih RM150,000 bagi membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat sijil kematian seorang lelaki, dua tahun lalu.

Abu Noor Abu Samah, 61 dan Noorha Wisma Hisham Abdul Wahab, 48, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Madihah Harullah.

Mengikut pertuduhan pertama, Abu Noor didakwa menerima secara rasuah daripada Pengurus Medan Selera Oasis, Jamilah Mohd. suatu suapan wang tunai sebanyak RM30,000 sebagai upah kononnya membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah, atas nama Abu Bakar S. M. Ashmouni kepada Abu Bakar Sulaiman Ashmoni.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh yang juga bekas pekerja Pos Malaysia, dituduh telah secara rasuah menerima daripada Jamilah melalui madunya, Norma Che Ali, suatu suapan iaitu cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM10,000 atas nama Tangkas Kesuma Sdn. Bhd., sebagai upah kononnya untuk membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah dan Norma.

Bagi pertuduhan ketiga, Abu Noor turut didakwa telah bersubahat menerima daripada Jamilah melalui Norma iaitu suatu suapan iaitu Cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM58,000 atas nama YAM TBPIS SEL sebagai upah kononnya untuk membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah dan Norma.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pejabat Medan Selera Oasis, Lot S JA3(A), Tingkat 2, Centre Court, Mid Valley Megamall, Lingkaran Syed Putra, di sini, antara pukul 9.45 malam, 10 Oktober dan 12.30 tengah hari, 16 Februari 2016.

Sementara itu, Noorha Wisma Hisham didakwa menerima daripada Jamilah, suatu suapan iaitu cek Bank Islam Malaysia Berhad berjumlah RM58,000 atas nama YAM TBPIS SEL, sebagai upah kononnya membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian suami Jamilah dan Norma.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di CIMB Bank Berhad, Jalan Tun Perak, di sini, 18 Februari 2016.

Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Nor Diana Nor Azwa manakala peguam-peguam Datuk Hanif Hassan dan Datuk Sukri Mohamed mewakili Abu Noor dan Noorha Wisma Hisham.-UTUSAN ONLINE-


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/2-rakan-didakwa-terima-rasuah-bantu-proses-urusan-sijil-kematian-1.707689#ixzz5L1iP8zUg

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip