SPRM dakwa Ketua Balai Bomba salah guna kuasa

KUANTAN: Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, dekat Pekan didakwa di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini, dengan 10 pertuduhan membabitkan salah guna kuasa antara Mac 2014 hingga Ogos 2015.

Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 53, didakwa melakukan kesalahan itu dengan memberikan kontrak pembekalan makanan untuk syarikat milik isterinya antara tarikh berkenaan.

Dia yang kini berpangkat Penolong Kanan Penguasa dikatakan mencadangkan nama syarikat Puncak Cahaya Azam Enterprise bagi membekalkan makanan untuk program membina semula rumah terbakar 'My Beautiful Neighborhood' anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 2014 dan operasi pemadaman kebakaran antara Mac hingga April 2014 dan Ogos 2015.

Selain itu, dia turut didakwa menggunakan kedudukannya bagi mencadangkan syarikat sama untuk program latihan menyelamat bagi persediaan menghadapi banjir pada September 2014 dan majlis penyerahan kunci rumah projek pembinaan semula rumah terbakar pada Disember 2014.

Nilai keseluruhan bagi semua pertuduhan itu adalah RM36,272.69.

Pendakwaan mengikut Seksyen 23 Suruhanjaya Akta Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dilakukan Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd Fadly Mohd Zaki, manakala tertuduh diwakili Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib mengarahkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos ini bagi tarikh sebutan semula dan pengurusan kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/453553/sprm-dakwa-ketua-balai-bomba-salah-guna-kuasa

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip