Lans Koperal dipenjara 3 tahun, denda RM90,000

KOTA BHARU: Seorang Lans Koperal dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 di sini dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM90,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah terhadap tiga tuduhan meminta dan menerima rasuah.

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin mengenakan hukuman itu terhadap Muhammad Harris Mohd Rafe, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mahkamah membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan dengan jaminan dinaikkan kepada RM10,000 selepas tertuduh memohon penangguhan sementara kerana sedang menuntut di sebuah universiti dan mempunyai peperiksaan pada Ogos nanti.

Ahmad Bazli kemudian membenarkan hukuman itu ditangguh selain menetapkan wang jaminan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bertugas di PGA Batalion 8 Pengkalan Chepa didakwa meminta suapan RM10,000 daripada warga Thailand, Na-Emah Hamat, sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap kenderaan Toyota Hilux bernombor pendaftaran RF 5703 Narathiwat yang membawa 70 kotak minyak masak dan 200 rak telur yang cuba diseludup ke Thailand di Lorong Perumahan Rantau Bakti, Pasir Mas di sini pada jam 10 pagi, 14 Ogos 2015.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga dia didakwa menerima dua kali suapan iaitu wang tunai RM5,000 dan RM3,000 daripada individu sama sebagai dorongan tidak mengambil tindakan atas kesalahan itu di lokasi sama pada jam 6.30 petang dan 9.30 malam, 14 Ogos 2015.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Ainur Azalia.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/445425/lans-koperal-dipenjara-3-tahun-denda-rm90000

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip