3 dipenjara, didenda cuba rasuah

ALOR SETAR: Tiga individu masing-masing dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan cuba merasuah pegawai kerajaan yang sedang melakukan tugas rasmi.

Hakim Azman Abu Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibaca secara berasingan dalam bahasa Hokkien mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, Tan Kok Aun, 43, dan Loo Jiunn Shyan, 27, didakwa melakukan kesalahan cuba memberi suapan kepada Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Nasruddin Abdul Rahman di premis hiburan Twenty 6, di Kampung Berjaya, jam 1.15 pagi, pada 27 Februari lalu.

Tertuduh pertama, Kok Aun bekerja sebagai subkontrator binaan didakwa cuba memberi suapan sebanyak RM1,000 untuk tidak menjalankan saringan air kencing mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Manakala, Jiunn Shyan bekerja sebagai penjual telefon bimbit pula didakwa cuba merasuah sebanyak RM1,100 untuk melepaskan isterinya, Shirneen Goh yang disyaki positif dadah selepas menjalani saringan air kencing mengikut Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Bagi tertuduh ketiga, Ooi See Gee, 49, yang bekerja sebagai pemandu lori didakwa cuba merasuah Pembantu Penguatkuasa Kementerian Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Selangor, Kamal Reza Kamal Pasha sebanyak RM1,200 supaya tidak mengambil tindakan ke atas dirinya kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan barang tanpa lesen.

See Gee didakwa melakukan kesalahan di Lot 36, Kawasan Perindustrian Bukit Kayu Hitam, jam 11.45 pagi pada 20 November 2014.

Ketiga-tiga mereka yang didakwa mengikut Seksyen 17(b) SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Pengawai Pendakwa SPRM, Sharul Khuzaini Amiruddin manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/07/455613/3-dipenjara-didenda-cuba-rasuah

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip