Pegawai bomba didakwa minta, terima rasuah

KANGAR 18 Julai - Dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan meminta dan menerima suapan sebanyak RM1,200 daripada seorang pengusaha salun, tahun lalu.

Bagaimanapun, Yusmi Arshad, 46, dan Halid Hassan, 50, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Johari Hassan.

Bagi pertuduhan pertama, Yusmi dan Halid didakwa meminta suapan daripada seorang pengusaha salun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya yang disyaki melakukan kesalahan pengubahsuaian premis.

Kedua-dua tertuduh yang masing-masing bertugas sebagai Timbalan Penguasa Bomba dan Penolong Kanan Penguasa Bomba didakwa meminta suapan itu melalui panggilan telefon di sebuah salun di Arau, pada 15 Ogos 2017.

Kesalahan tersebut didakwa mengikut Seksyen 21 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada jumlah atau nilai suapan.

Bagi pertuduhan kedua, kedua-dua tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM1,200 bagi tujuan sama di premis tersebut pada pukul 12.12 tengah hari, 16 Ogos 2017. Bagi kesalahan itu, mereka turut didakwa di bawah seksyen yang sama.

Dalam pada itu, bagi pertuduhan berasingan, Yusmi berhadapan satu lagi tuduhan iaitu cuba mendapatkan suapan bernilai RM1,000 melalui akaun bank isterinya daripada seorang lelaki lain yang mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia dituduh melakukan kesalahan tersebut di sebuah rumah kedai nombor 2, Jalan 19, Taman Pauh Indah, Arau, kira-kira pukul 1.30 petang, pada 15 Ogos 2017.

Bagi kesalahan itu, Yusmi didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau keduanya sekali.

Dalam pada itu, Johari menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi Yusmi dan Halid, sementara Yusmi

dikenakan jaminan tambahan sebanyak RM3,000 bagi tuduhan berasingan. Kedua-dua mereka menjelaskan wang jaminan itu.

Johari menetapkan 27 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A. Hafiizh Abu Bakar sementara Yusmi diwakili peguam bela, Jamil Mohamed Shafie dan Halid pula diwakili oleh Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/pegawai-bomba-didakwa-minta-terima-rasuah-1.711279#ixzz5Laa3Wkc2 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip