Beri peluang kepada prinsip keadilan

SEJAK petang kelmarin, tumpuan rakyat Malaysia dan seluruh dunia terarah kepada kes yang boleh dianggap berprofil paling tinggi setakat ini di negara kita.

Penahanan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), disusuli pendakwaan ke atas bekas pemimpin negara itu semalam menjadi tumpuan media tempatan dan antarabangsa.

Sejak petang kelmarin juga, pelbagai lapisan masyarakat mengikuti kes di depan televisyen, mendengar menerusi radio, selain mengikuti perkembangan mutakhir melalui media dalam talian, akhbar serta sebaran aplikasi WhatsApp dan Telegram.

Media antarabangsa berpengaruh seperti The British Broadcasting Corporation (BBC), Cable News Network (CNN), Reuters dan AFP turut tidak ketinggalan menyiarkan perkembangan pendakwaan di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, semalam.

Begitu juga dengan akhbar berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), The Gulf Today, Washington Post, Bloomberg dan The Times dari United Kingdom.

Ia dianggap kes berprofil paling tinggi kerana dalam kalangan enam bekas Perdana Menteri sebelum ini, Najib adalah yang pertama menghadapi dakwaan jenayah.

Setakat semalam, hanya empat pertuduhan dikemukakan terhadap beliau berkaitan dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan menggunakan kedudukan bagi memperoleh suapan RM42 juta membabitkan syarikat SRC International Sdn Bhd.

Sejurus dibebaskan dengan ikat jamin RM1 juta, bekas Perdana Menteri yang sempat ditemui media, berkata: "Jika ini harga yang saya terpaksa bayar kerana 42 tahun berkhidmat untuk rakyat dan negara, saya akan reda".

Dari satu sudut, perkembangan berkenaan sedikit sebanyak melegakan selepas sekian lama isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd membelenggu bekas Perdana Menteri sejak penghujung 2014 lagi.

Rasanya, ramai yang menunggu kes itu dibawa ke mahkamah, platform terbaik untuk memberi peluang kepada kedua-dua pihak, kerajaan dan bekas Perdana Menteri untuk mengemukakan kes masing-masing.

Ia peluang terbaik untuk kerajaan membuktikan kesalahan dilakukan pemimpin berkenaan seperti didakwa sejak sekian lama, malah turut tersenarai dalam manifesto Pakatan Harapan (PH), antara faktor yang berjaya membawa PH menguasai Putrajaya pada PRU-14 lalu.

Mahkamah juga peluang terbaik untuk Najib mempertahankan pengakuan tidak bersalah seperti kerap diperkatakan beliau sebelum ini, sekali gus membersihkan dirinya daripada tanggapan negatif dilemparkan selama ini.

Ia juga peluang untuk rakyat, sama ada yang anti-Najib, penyokong bekas Perdana Menteri itu atau mereka yang 'neutral', tahu apa kedudukan sebenar dalam isu berkenaan yang sudah didengar sejak tiga tahun lalu.

Hormati prinsip undang-undang

Bermula kes berkenaan dan mungkin disusuli pendakwaan bagi beberapa kes lagi selepas ini jika ada, semua pihak harus menghormati prinsip undang-undang, iaitu 'tertuduh tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah'.

Prinsip itu juga ditegaskan Peguam Negara, Tommy Thomas yang mengetuai pihak pendakwaan pada prosiding semalam.

Sudah pasti kita mahu melihat bekas Perdana Menteri dibicarakan seadil-adilnya tanpa ada campur tangan unsur luar atau 'perbicaraan oleh media' yang boleh membentuk persepsi tidak adil kepada tertuduh.

Mahkamah juga menyedari perkara itu apabila membenarkan perintah larangan sementara bagi menghalang media daripada melaporkan berhubung merit kes pecah amanah dan menyalahgunakan kedudukan dihadapi Najib.

Perintah berkenaan berjalan semalam sehingga 8 Oktober ini sebelum peguam mewakili bekas Perdana Menteri dalam kes berkenaan, membuat permohonan rasmi berhubung larangan terbabit pada tarikh sama.

Sehingga keputusan akhir diketahui nanti, semua pihak bebas mempunyai pendirian peribadi masing-masing, bebas menyokong atau mendoakan kebaikan untuk pihak mana disokong.

Sokongan kepada Najib hadir lebih awal apabila penyokongnya mengadakan solat hajat di semua 191 bahagian UMNO seluruh negara seperti yang dijangka, bagi mendoakan keselamatan dan keadilan buat bekas presiden parti itu.

Malam kelmarin pula, ada kumpulan penyokong berkumpul di hadapan bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyatakan sokongan kepada Najib yang ditahan di situ sebelum dibawa ke mahkamah pada sebelah paginya.

https://www.bharian.com.my/rencana/komentar/2018/07/445258/beri-peluang-kepada-prinsip-keadilan

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip