Bekas pegawai JPJ 
hadapi 19 tuduhan rasuah


 KUANTAN 24 Nov. - Seorang bekas Ketua Cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Muadzam Shah dekat Rompin dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 19 tuduhan menerima barang berharga tanpa balasan berjumlah RM12,300 daripada pengusaha lori antara Februari 2012 sehingga September lalu.

Azhar Ahmed, 51, yang ketika itu memegang jawatan sebagai Penolong Pegawai Penguat kuasa JPJ mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof.
 

Tertuduh didakwa menerima suapan secara bulanan daripada pengusaha-pengusaha syarikat lori yang beroperasi di sekitar Muadzam Shah yang mempunyai hubungan kerja rasmi dengannya.

Dia berdepan tujuh pertuduhan menerima barang berharga daripada Mohd. Suffian A. Majid berjumlah RM5,600 yang dimasukkan ke akaun Maybank miliknya di antara Februari dan Disember 2012.

Azhar juga didakwa atas empat pertuduhan menerima barang berharga daripada Tan Lee Eng @ Tang Gee Yong berjumlah RM1,400 antara Julai dan Oktober 2012 yang turut dimasukkan di dalam akuannya.

Tertuduh turut berdepan tiga pertuduhan menerima barangan berharga daripada Rameli Majid berjumlah RM1,800 yang dimasukkan ke akaun banknya antara Julai dan Oktober 2012.

Lima lagi pertuduhan adalah masing-masing menerima suapan daripada K. Naganah dan Lin Ten Loi berjumlah RM2,400 dan RM1,000 manakala RM100 daripada Yap Chia Shiang, dan kesemua duit berkenaan dimasukkan ke akaun bank tertuduh antara Julai dan September lalu.

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam rayuan untuk mengurangkan jumlah jaminannya, Azhar memberi alasan dia kini tidak mempunyai pendapatan kerana sudah tidak bekerja, mengalami penyakit diabetes kronik dan perlu menanggung perbelanjaan keluarga.

Habibah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan sementara menunggu sebutan semula kes pada 22 Disember ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Syafinaz Shabudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-pegawai-jpj-8232-hadapi-19-tuduhan-rasuah-1.162052#sthash.jnjXsGUd.kpNNkyzz.dpuf

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip