Kes Rasuah, Pengubahan Wang Haram Lima Pegawai TLDM Disebut Semula 9 Dis Ini
Empat pegawai kanan TLDM
termasuk pasangan suami isteri ketika keluar dari Mahkamah Sesyen Ipoh
pada 30 Okt setelah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pengubahan
wang haram membabitkan nilai lebih RM2 juta, antara 2014 dan 2015
(Gambar Fail Bernama)IPOH, 11 Nov (Bernama)
Mahkamah Sesyen di sini
menetapkan 9 Dis ini untuk sebutan semula kes rasuah dan pengubahan wang
haram membabitkan lima pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM)
termasuk sepasang suami isteri.
Dalam prosiding sebutan
semula kes itu di dua Mahkamah Sesyen hari ini, Hakim Rushan Lutfi
Mohamed dan Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin masing-masing menetapkan
tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan
Pendakwa Raya Wan Ahmad Nizam Wan Omar untuk perbicaraan serentak bagi
kedua-dua kes itu di Mahkamah Khas Rasuah Ipoh.
Sebelum ini, kesemua
pegawai kanan TLDM termasuk pasangan suami isteri itu didakwa atas
pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai lebih RM500,000 berkaitan
urusan pembekalan barangan ke TLDM antara 2014 dan 2015.
Pasangan Leftenan
Komander Rozlin Mustafa, 33, dan suaminya Leftenan Komander Rizalman
Ghazali, 36, menghadapi enam pertuduhan menerima suapan membabitkan
RM420,852.85 manakala Leftenan S.Kuvendran, 32, menghadapi empat
pertuduhan menerima suapan sebanyak RM104,971.97.
Dua lagi pegawai iaitu
Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, menghadapi tujuh pertuduhan menerima
suapan barangan berharga bernilai RM1,052,120.60 manakala Leftenan
Komander Khairul Izwan Mohd Khir, 37, menghadapi lima pertuduhan
menerima wang suapan melibatkan nilai RM1,500,000.
Pasangan suami isteri
itu juga menghadapai enam pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan
wang RM604,207, Khairul Izwan menghadapi lima pertuduhan melibatkan
RM1,425,500 manakala Kuvendran menghadapi lima pertuduhan membabitkan
RM142,115.77.
Abdul Aziz didakwa atas
lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan urusan pembekalan
barangan ke TLDM berjumlah RM840,000 sejak tahun lepas.
Prosiding sebutan semula
kes rasuah itu terhadap kesemua tertuduh didengar oleh Hakim Rushan
Lutfi manakala kes pengubahan wang haram membabitkan Abdul Aziz didengar
oleh Hakim Ikmal Hishan di Mahkamah Sesyen berasingan.
Sementara itu, ketika
ditanya mengenai tiga lagi pegawai TLDM iaitu pasangan suami isteri
berkenaan serta Khairul Izwan dan Kuvendran yang dituduh atas kesalahan
pengubahan wang haram, Wan Ahmad Nizam berkata kes itu akan disebut pada
3 Dis ini dan pihak pendakwaan akan memohon perbicaraan bersama.
Kesemua tertuduh diwakili peguam-peguam yang diketuai Norhasham Hasan.
Comments
Post a Comment