Pengarah Imigresen Perak, Penolong Penguatkuasa Ditahan Reman Empat Hari Bantu Siasatan Kes Rasuah


IPOH, 12 Nov (Bernama) -- Pengarah Imigresen Negeri Perak dan seorang penolong penguatkuasa jabatan berkenaan ditahan reman selama empat hari kerana disyaki menerima dan meminta rasuah daripada pemilik sebuah pusat hiburan di Sitiawan baru-baru ini.

Majistret Nurul Asyifa Redzuan membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes rasuah mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu meminta dan menerima rasuah.

Peguam Datuk Naran Singh, yang mewakili kedua-dua suspek, ketika ditemui di luar mahkamah memaklumkan bahawa anak guamnya ditahan di rumah masing-masing pukul 2 pagi, Khamis.

Beliau berkata kedua-dua suspek disyaki menerima suapan sebanyak RM7,000 dan meminta pusat hiburan berkenaan membayar sejumlah RM10,000 sebulan mulai Januari tahun depan sebagai dorongan agar tindakan tidak diambil terhadap pelayan pelanggan yang bekerja di situ.

Naran Singh juga memaklumkan bahawa SPRM memohon mahkamah membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman selama tujuh hari.

Bagaimanapun, Naran Singh yang dibantu peguam Mohamed Yazzer Azzad Zainudin, membantah atas alasan tempoh itu terlalu panjang dan kes ini tidak begitu serius.

Beliau kemudian mencadangkan agar kedua-dua suspek ditahan reman selama dua hari kerana pihak SPRM boleh memanggil mereka pada bila-bila masa untuk diambil keterangan.

Katanya, tempoh tahanan reman yang panjang juga akan memalukan suspek pertama sekiranya tidak didakwa di mahkamah kerana dia memegang jawatan tinggi.

Seksyen 17(a) Akta SPRM memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip