TISB dan 16 Anak Syarikat Tandatangan Ikrar Integriti Korporat, MB Terengganu Sasar 'Zero Tolerance' Terhadap Rasuah

TERENGGANU Incorporated Sdn. Bhd. (TISB) dan 16 anak syarikatnya hari ini menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) bagi mewujudkan mekanisme dalaman menyokong usaha mewujudkan persekitaran bebas rasuah.
Pada majlis yang berlangsung di Kuala Terengganu, Terengganu, Ketua Pegawai Eksekutif TISB, Wan Zalizan Wan Jusoh telah memimpin bacaan ikrar yang disertai oleh ketua anak-anak syarikat TISB dan kira-kira 100 kakitangan.
Majlis menandatangani CIP disaksikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Dato' Sri Hj. Mustafar Ali.
Dalam ucapan perasmian, Dato' Seri Ahmad Razif berkata, beliau amat berharap setia Syarikat Berkepentingan Kerajaan Negeri (SGLC) di Negeri Terengganu akan terus berusaha untuk mencapai tahap 'zero tolerance' terhadap perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Ikrar ini perlu diterjemahkan kepada praktis, semua pihak di peringkat termasuk pengerusi, ahli lembaga pengarah, ketua syarikat, pengurusan tertinggi dan warga kerja yang lain mestilah mengambil bahagian dan memberi sumbangan kepada usaha menjayakan program ini,” kata beliau.
Pada sidang media kemudian, Dato' Seri Ahmad Razif turut memuji komitmen yang ditunjukkan oleh SPRM sambil menyifatkan agensi berkenaan sebagai sebuah badan yang bebas.
Jelas beliau, siasatan dan pendakwaan kes-kes berprofil tinggi, termasuk yang melibatkan ahli-ahli politik adalah bukti SPRM merupakan badan yang bebas.
Di samping itu, Dato' Seri Ahmad Razif turut melancarkan ‘tagline’ Integriti Korporat Kumpulan Terengganu Inc… 'Ambe Benci Rasuah' dan mengumumkan bahawa bulan Disember, Januari dan Februari setiap tahun adalah bulan ‘Ambe Benci Rasuah’.
Sementara itu, Dato' Sri Hj. Mustafar berkata, TISB perlu terus mengorak langkah untuk mencapai konsep Transformasi Terengganu Baharu yang mana prinsip keempat daripada lapan prinsip berkenaan adalah berkaitan dengan "intergriti bersih dalaman dan luaran."
"Ikrar ini merupakan detik mula untuk menyuntik kekuatan sesebuah organisasi melakukan transfomasi dalam usaha menambah baik nilai-nilai integriti sedia ada.
"Secara tidak langsung ia memperlihatkan pendirian jelas organisasi berkenaan," kata beliau.
Majlis menandatangani CIP kali ini menjadikan TISB sebagai organisasi kelima di Terengganu berbuat demikian.
Sejak 2013, sebanyak empat organisasi di Terengganu telah menandatangani CIP iaitu Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu, Majlis Perbandaran Kuala Terengganu, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT).
CIP terdiri daripada lima prinsip iaitu mempromosikan nilai-nilai ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik; memperkukuhkan mekanisme kawalan dalaman dengan memasukkan elemen-elemen yang menyokong pencegahan rasuah; dan pematuhan undang-undang serta peraturan-peraturan yang berkaitan dengan memerangi rasuah.
Selain itu, prinsip CIP turut mencakupi usaha membanteras sebarang bentuk amalan rasuah; dan menyokong inisiatif pencegahan rasuah yang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dan SPRM.
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
PUTRAJAYA
22 NOVEMBER 2015

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip