Kembalikan 'fear factor' sempadan Padang Besar
PENDEDAHAN media mengenai kegiatan penyeludupan di stesen Keretapi Tanah
 Melayu Berhad (KTMB) di Padang Besar, Perlis, dipandang serius oleh 
pasukan keselamatan negara yang mengambil tindakan segera bagi 
mengatasinya.
Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Shafie Ismail sendiri 
turun padang meninjau lokasi itu serta kawasan sempadan lain selepas 
pendedahan dibuat. Tinjauan dilakukan selama dua hari dengan helikopter 
Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berpangkalan di Sungai Besi, Kuala 
Lumpur.
Tujuannya bagi mendapat gambaran lebih jelas tentang situasi pagar 
sempadan termasuk di lokasi-lokasi hutan yang tidak dapat dimasuki oleh 
kenderaan.
Hasilnya, pagar-pagar yang berlubang diperbaiki kontraktor dilantik pada
 petang sejurus pendedahan itu. Lampu-lampu pula dinyalakan bermula 
pukul 7 petang sehingga pukul 7 pagi bagi menerangi lokasi terbabit.
Jabatan Tanah dan Galian Perlis pula serta-merta mengeluarkan status 
bahawa kawasan bersemak yang menyumbang kepada kegiatan penyeludupan di 
stesen itu disahkan milik KTMB. Status kawasan itu menjadi tanda tanya 
sejak sekian lama sehingga sukar untuk mana-mana pihak mengambil 
tindakan membersihkannya.
Perkembangan ini sudah tentu melegakan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Pos 
Bukit Kuan Chu (BKC) 7 di situ, yang kini lebih mudah untuk memantau 
kegiatan penyeludupan.
Menurut satu sumber keselamatan, jika perkara-perkara ini dapat 
diselesaikan, pihaknya yakin kawasan stesen itu yang diletakkan sebagai 
lokasi paling panas penyeludupan di sempadan Perlis dapat 'dibersihkan' 
daripada aktiviti itu.
"Namun apa yang penting, kesungguhan semua pihak untuk membantu sama 
dalam menyelesaikan perkara ini. Ini termasuklah memastikan setiap 
anggota pasukan keselamatan ditempatkan di situ mempunyai integriti yang
 tinggi.
"Perkara ini pernah disuarakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 
(SPRM) ketika menjalankan operasi khas membanteras penyeludupan petrol 
di kawasan sempadan Perlis, Mac lalu, yang menyaksikan lebih 20 orang 
penguat kuasa diberkas ketika pertukaran tugas di Kedah.
"SPRM percaya tiada elemen lain seperti pagar 'bocor' kecuali yang lebih
 utama adalah soal integriti. Oleh itu, kembalikan 'fear factor' (rasa 
takut) penyeludup terhadap penguat kuasa kita," katanya.
Jika soal pagar bocor atau semak hendak ditimbulkan, terdapat kawasan 
pagar sempadan lain dari Sintok, Kedah sehingga ke utara Perak yang jauh
 lebih daif serta tiada bekalan asas. Namun tidak pula terdengar 
pelbagai masalah tentang penyeludupan yang timbul.
Nampak seolah-olah terdapat segelintir penguat kuasa yang 'tewas' 
apabila berhadapan tawaran lumayan daripada penyeludup ketum sehingga 
mencemar nama lebih ramai lagi yang tidak sanggup menggadai maruah 
sendiri.
Dalam pada itu, peruntukan RM500 juta kepada Kementerian Dalam Negeri 
(KDN) baru-baru ini, diharap dapat digunakan untuk membaik pulih 
pagar-pagar, memasang kamera litar tertutup (CCTV) selain mewujudkan 
Unit Berkuda bagi menunjukkan kehadiran polis di kawasan sempadan.
Mudah-mudahan penyeludup dan penjenayah merasa gerun dan ‘pagar’ kita tidak bolos lagi.
http://www.utusan.com.my/rencana/kembalikan-i-fear-factor-i-sempadan-padang-besar-1.157043 
Comments
Post a Comment