Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi mengaku tidak bersalah terima rasuah

KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 14 tuduhan rasuah berjumlah lebih RM 23,540.68 bagi bayaran ansuran kenderaan dimilikinya.

Tertuduh juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Noor Ehsanuddin, 56, didakwa sebagai penjawat awam iaitu ahli lembaga pengarah Felda bertugas di Felda, menerima suatu benda berharga iaitu bayaran ansuran kenderaan di Affin Bank Berhad, Cawangan Taman Maluri, 250-252, Jalan Mahkota, di sini, bagi kereta WQP 329, daripada Karya Hidayah Sdn Bhd, antara 10 Februari 2014 hingga 9 November 2015.

Bagi kesemua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Diana Nor Azwa dalam pendakwaan meminta agar mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.

“Pihak pendakwaan memohon agar mahkamah mengenakan syarat agar tertuduh melaporkan diri di pejabat SPRM terdekat sekali setiap bulan.

“Selain itu, tertuduh juga diminta untuk serahkan pasport ke mahkamah,” katanya.

Sementara itu, tertuduh diwakili Datuk R Thrichelvam dan Vincent Lawrence.

Thrichelvam bagaimanapun tidak membantah jumlah jaminan dikenakan selain iti turut memaklumkan pasport anak guamnya sudah diserahkan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, selepas dituduh, Ahad lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke pejabat SPRM minggu pertama setiap bulan.

Mahkamah turut menetapkan 14 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/02/530328/bekas-ahli-parlimen-kota-tinggi-mengaku-tidak-bersalah-terima-rasuah

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip