Bekas pengurus besar PPN Terengganu didakwa salah guna kuasa

KUALA TERENGGANU 27 Feb. - Seorang bekas pengurus besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan salah guna kuasa melibatkan jumlah keseluruhan RM303,546.

Tertuduh, Che Sa’adon Che Yahya, 55, yang ditukarkan ke PPN Kelantan pada tahun lalu membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama, Che Sa’adon didakwa menggunakan jawatannya sebagai pengurus besar Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Terengganu untuk mendapatkan suapan bagi anaknya apabila memilih syarikat Arcana Jaya Enterprise milik Muhammad Faris dalam pembekalan dan menghantar penjantan dan induk bebiri bagi projek fasa satu di Kampung Pelam bernilai RM107,050.

Tertuduh yang juga Ahli Pengarah Gapets Sdn. Bhd. didakwa melakukan perbuatan itu di pejabat Gapets di sini pada 1 November 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Che Sa'adon didakwa  menyalahgunakan kedudukannya sebagai pegawai badan awam dan Ahli Lembaga Gapets untuk mendapatkan suapan bagi anaknya apabila sekali lagi memilih syarikat Arcana Jaya Enterprise bagi projek sama untuk fasa dua yang bernilai RM196,496, di pejabat Gapet di sini pada 4 Disember 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan bagi kedua-dua pertuduhan terbabit.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 19 Mac ini untuk sebutan semula kes dan tertuduh dibenar ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin.

Che Sa'adon sebelum ini pernah dihadapkan dua kali ke Mahkamah Sesyen di sini pada 27 Mac dan 18 April tahun lalu kerana mengemukakan tuntutan palsu bagi pembelian 14 ekor ikan kerapu hibrid bernilai RM600 di samping penukaran alat ganti kenderaan milik PPN Terengganu. - UTUSAN ONLINE


http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/bekas-pengurus-besar-ppn-terengganu-didakwa-salah-guna-kuasa-1.849623#ixzz5ghnrbHT5 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip