Hafarizam didakwa atas dua tuduhan pengubahan wang haram RM15 juta

KUALA LUMPUR: Penasihat undang-undang UMNO, Datuk Mohd Hafarizam Harun, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua tuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram dengan memasukkan cek berjumlah RM15 juta milik bekas Perdana Menteri ke dalam akaun firma guaman miliknya.

Mohd Hafarizam, 47, mengaku tidak bersalah dan memohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pada prosiding yang bermula jam 9.50 pagi itu, Mohammad Hafarizam yang memakai sut hitam dan kemeja putih hitam kelihatan tenang sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Mohd Hafarizam didakwa membabitkan diri secara langsung dalam dua transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan dua keping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM11.5 juta milik Mohd Najib Razak ke dalam “client account” firma guaman miliknya, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak (HWAM) di CIMB Bank Berhad.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank cawangan PWTC, Suite 1, Level 5, Menara Datuk Onn, Jalan Tun Ismail, di sini, antara 16 April dan 4 November 2014.

Mohd Hafarizam turut didakwa membabitkan diri secara langsung dalam transaksi hasil aktiviti haram dengan memasukkan sekeping cek AmIslamic Bank Berhad berjumlah RM3.5 juta milik Najib ke dalam “Client Account” firma miliknya, di tempat sama, pada 12 Februari 2015.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P Kunyalam, menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan dokumen perjalanan diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Datuk Hasnal Rezua Marican yang mewakili Mohammad Hafarizam tidak membantah jaminan yang ditawarkan.

Sementara itu pada prosiding sama, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Akram Gharib memaklumkan mahkamah terdapat seorang lagi individu dengan nama Paul Geoffrey Stadlen yang sudah didaftarkan pertuduhan dan dikeluarkan waran tangkap terhadapnya, semalam.

“Sekiranya beliau berjaya dibawa ke mahkamah, kes ini akan dipohon untuk dibicarakan bersama dengan individu berkenaan.

“Langkah untuk mengesan beliau sudah dijalankan dengan mendaftarkan kes, mengeluarkan waran tangkap dan menyerahkannya kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL),” katanya.

Sehubungan itu, Hakim Azman membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan 25 Mac ini untuk sebutan semula kes.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/02/533265/hafarizam-didakwa-atas-dua-tuduhan-pengubahan-wang-haram-rm15-juta

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip