Petani beri rasuah didenda RM50,000

KUANTAN 18 Feb. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini memerintahkan seorang petani membayar denda RM50,000 selepas mengaku salah terhadap tuduhan pilihan memberi rasuah kepada pegawai kerajaan apabila dia didapati menceroboh hutan simpan di Cameron Highlands, empat tahun lepas.

Hakim Mohd Ghazali Mohamad Taib juga memerintahkan Teong Tong Lai, 34, dipenjara tiga bulan jika gagal menjelaskan denda itu.

Teong didakwa memberi ra­suah RM10,000 kepada Penolong Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Operasi Negara, Majlis Ke­selamatan Negara (MKN) Sanifah Yusof pada pukul 9.32 malam, 13 Mei 2015 di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands.

Suapan yang terdiri daripada 200 keping wang tunai RM50 itu didakwa sebagai dorongan supaya tiada tindakan diambil ke atas kebunnya di Hutan Simpan Terla (A) Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands yang menyalahi Akta Perhutanan 1984.

Bagi kesalahan itu, Teong didakwa mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan tertuduh membuka kebun secara haram terbongkar pada pe­laksanaan Op Gading dan tertuduh menawarkan wang itu agar diberikan masa supaya kebunnya tidak dirobohkan. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abiddin.

Peguam Mohamad Hamizey Mat Taib yang mewakili Teong, merayu mahkamah meringankan hukuman atas alasan anak guamnya menanggung isteri dan dua anak dengan hasil sayur yang dipasarkan ke Pasar Borong Sela­yang, Selangor.

“Semasa kejadian, tertuduh bekerja dengan ayahnya yang telah mengusahakan syarikat menanam sayur sejak 1985. Selepas dia ditangkap, syarikat itu ditutup dan tertuduh buat masa ini menanam sayur dengan memajak tanah persendirian.

“Untuk makluman mah­kamah, tertuduh ada memohon permit ke atas tanah yang terlibat dengan maklum balas terakhir diterima pada Jun 2015 iaitu sebulan selepas dia ditangkap memaklumkan permohonan masih dalam pertimbangan Jabatan Hutan,” katanya.

Mohamad Hamizey berkata, tertuduh berjanji tidak mengulangi kesalahan tersebut, selain telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang siasatan. Tertuduh menjelaskan denda itu. – BERNAMA


http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/petani-beri-rasuah-didenda-rm50-000-1.843856#ixzz5fvlSTZwr 

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip