Pengubahan wang haram hampir RM15 juta: Bekas penasihat media Najib didakwa

KUALA LUMPUR: Bekas penasihat media Datuk Seri Najib Razak, Paul Stadlen, hari ini didakwa dengan dua tuduhan mengarahkan pengeluaran wang dalam 43 transaksi hasil kegiatan haram berjumlah hampir RM15 juta.

Pendakwaan terhadap Stadlen dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret, Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, tanpa kehadiran tertuduh (in absentia).

Bagi tuduhan pertama, Stadlen didakwa mengarahkan pengeluaran wang dalam 27 transaksi membabitkan hasil kegiatan haram berjumlah RM8,111,322.43 daripada akaun pelanggan firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.

Pengeluaran wang terbabit adalah bertujuan untuk dibayar kepada beberapa individu dan syarikat.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Jun 2014 dan Disember 2015 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA).

Bagi tuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengarahkan pengeluaran wang dalam 16 transaksi hasil kegiatan haram berjumlah RM6,139,978.34, daripada firma guaman sama, juga untuk dibayar kepada beberapa individu dan syarikat.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari dan Ogos 2015, mengikut seksyen dan akta sama. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun.

Stadlen, yang juga warga negara Britain, dikatakan menghilangkan diri sejak kekalahan Najib pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu.

SPRM sebelum ini mengeluarkan kenyataan media untuk mengesan Stadlen bagi membantu siasatan dalam sebuah kes berprofil tinggi membabitkan 1MDB.

Menurut kenyataan itu, lelaki terbabit dikesan melalui alamat terakhir di A-29-8, Blok A, Loft Sentral Condominium, Jalan Stesen Sentral 5, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Agensi itu, dalam kenyataan media hari ini, berkata ia menahan seorang peguam bergelar Datuk kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan pengubahan wang haram berjumlah RM15 juta.

Peguam berusia 47 tahun itu ditahan kira-kira jam 4.25 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek itu.

"Suspek akan menghadapi dua pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFA 2001," katanya.


https://www.bharian.com.my/berita/kes/2019/02/533118/pengubahan-wang-haram-hampir-rm15-juta-bekas-penasihat-media-najib-didakwa

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip