Lans Koperal didakwa salah guna kad petrol

ANGGOTA polis berpangkat Lans Koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas tuduhan salahguna kad minyak milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kerugian RM90,422.90, dua tahun lalu.

Bagaimanapun, tertuduh Mohd Baderyshah Matasum, 34, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, tertuduh didakwa dengan curang menyalahguna harta iaitu kad inden minyak petrol kenderaan rasmi PDRM ‘Kad Smart Pay’ bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422.90.

Semua perbuatan itu dilakukan tertuduh secara berperingkat di sebuah pam minyak di Kelemak, Alor Gajah, antara 1 Mac hingga 30 September 2017.

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun dan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Irwan Shah Abdul Samat.

Terdahulu, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM70,000 bagi semua pertuduhan dengan mengambil kira nilai penyelewengan yang tinggi dilakukan tertuduh sebagai penjawat awam.

Namun, tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork, merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh masih bertugas dan gajinya kini ditahan selain perlu menanggung lima anak dan bapa yang uzur.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin selain perlu menyerahkan passport ke mahkamah.

Selain itu, tertuduh perlu melapor diri setiap bulan ke pejabat SPRM sehingga kes berkenaan selesai.

Mohd Nasir turut menetapkan 20 Mac depan tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen berkaitan.


https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/02/423043/lans-koperal-didakwa-salah-guna-kad-petrol

Comments

Popular posts from this blog

Ibu Pejabat SPRM ikonik baharu Putrajaya

Penolong arkitek UiTM didenda kes rasuah

Beri suapan RM1,100 untuk tukar sampel air kencing kepada air paip